Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu rumah Myanmar kes tunggal COVID-19 dalam masyarakat pada Rabu

Sebanyak 35 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Rabu (7 Apr), termasuk satu kes jangkitan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah Myanmar kes tunggal COVID-19 dalam masyarakat pada Rabu

Gambar fail pejalan kaki di Singapura. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 07 Apr 2021 11:04PM Dikemas Kini : 07 Apr 2021 11:07PM

SINGAPURA: Sebanyak 35 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Rabu (7 Apr), termasuk satu kes jangkitan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Lagi 34 kes diimport dan dikenakan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di sini.

Tiada kes jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja migran.

PEMBANTU RUMAH MYANMAR DIUJI POSITIF

Satu-satunya kes jangkitan dalam masyarakat, tidak mempunyai hubung kait buat masa ini. Pembantu rumah warga Myanmar berusia 40 tahun itu tiba di Singapura pada 13 Nov.

Satu ujian swab yang diambil pada 23 Nov semasa beliau menjalani notis SHN menunjukkan negatif COVID-19.

Beliau dikuarantin dari 24 hingga 27 Nov setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat satu kes sebelumnya, juga seorang warga Myanmar. Mereka menaiki penerbangan yang sama ke Singapura.

Wanita itu mula bekerja di rumah majikannya pada 27 Nov. Beliau diuji pada 4 Apr apabila mendapatkan rawatan setelah mengalami pening kepala dan sesak nafas.

Keputusan ujiannya positif pada hari yang sama dan beliau dimasukkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Satu lagi ujian yang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional pada 5 Apr menunjukkan negatif bagi jangkitan COVID-19. Ujian serologinya positif, yang menunjukkan bahawa ia adalah jangkitan lama.

"Beliau mungkin masih mengeluarkan sisa-sisa kecil virus RNA yang tidak lagi berjangkit kepada orang lain," menurut MOH.

"Namun memandangkan kami tidak dapat membuat kesimpulan secara pasti tempoh beliau dijangkiti, kami akan mengambil segala langkah kesihatan awam sewajarnya sebagai langkah berjaga-jaga."

WARGA KANADA TIBA UNTUK SERTAI ACARA SUKAN

Dalam kalangan kes import, termasukl seorang lelaki warga Kanada berusia 35 tahun yang tiba di sini menggunakan pas lawatan jangka pendek untuk menyertai satu acara sukan.

Beliau dikaitkan dengan seorang lagi lelaki dari Kanada yang diuji positif pada 4 April.

Kini terdapat empat kes COVID-19 yang dilaporkan baru-baru ini - dua dari Kanada, seorang dari Brazil dan seorang lagi dari Serbia - yang tiba di Singapura untuk mengambil bahagian dalam satu acara sukan.

Tiada maklumat diberikan sejauh ini berhubung kes itu dalam respons kepada pertanyaan yang diajukan CNA sebelum ini.

Kes import yang lain termasuk seorang rakyat Singapura yang pulang dari Britain serta tiga pemegang pas tanggungan yang tiba dari Perancis, India dan Indonesia.

Lagi 23 kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia dan Filipina. Tujuh daripada kes itu adalah pembantu rumah migran.

Dua lagi kes melibatkan pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Bangladesh dan India untuk melawat anggota keluarga mereka yang merupakan rakyat atau penduduk tetap Singapura.

Dalam pada itu, 21 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan keseluruhan kes yang sembuh kini sebanyak 60,260.

46 pesakit masih dirawat di hospital. Sebilangan besarnya dalam keadaan stabil atau beransur pulih manakala seorang berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Sebanyak 218 kes sedang menjalani pengasingan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Singapura melaporkan 60,554 kes COVID-19 sehingga Rabu dengan 30 kematian.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan