Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu rumah dipenjara; pukul dan ludah pesakit strok terlantar di katil

Seorang pembantu rumah yang digajikan untuk menjaga pesakit angin ahmar yang terlantar di katil sebaliknya mendera lelaki itu dengan memukul tangannya, memegang kepala lelaki itu dengan kasar di samping meludah  muka warga tua itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah dipenjara; pukul dan ludah pesakit strok terlantar di katil

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 03 Jun 2021 10:11PM Dikemas Kini : 03 Jun 2021 10:14PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah yang digajikan untuk menjaga pesakit angin ahmar yang terlantar di katil sebaliknya mendera lelaki itu dengan memukul tangannya, memegang kepala lelaki itu dengan kasar di samping meludah muka warga tua itu.

Warga Myanmar Aye Aye Than, 26 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 minggu pada Khamis (3 Jun). Dia mengaku bersalah terhadap satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada individu yang lemah, dengan tiga lagi tuduhan lain dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa, seorang lelaki 72 tahun yang tinggal bersama isteri dan anak perempuannya, mengalami serangan angin ahmar beberapa kali. Selepas serangan paling serius pada lewat 2019, beliau hilang daya pergerakannya dan terlantar di katil.

Lelaki itu tidak dapat melakukan tugasan seperti memegang benda atau menyokong berat badannya sendiri, dan tidak berdaya bergerak sendiri.

Disebabkan beliau mudah tercekik ketika makan, warga emas itu diberi makanan cecair melalui tiub atas nasihat doktor. Beliau turut sukar bercakap, kata Timbalan Pendakwa Raya Jotham Tay.

Isteri mangsa mengambil tertuduh untuk bekerja dari 2 Jan 2020 hingga 7 Feb 2021. Dia ditugaskan memberi mangsa makanan melalui tiub sebanyak lima kali sehari, membersihkankahak mangsa menggunakan tiub dan mesin bila perlu, menyalinkan lampin dan membersihkan mangsa selain mengalihkan beliau dari katil ke kerusi roda.

Pada awalnya, Aye Aye Than dilatih untuk melakukan tugas yang perlu dijalankan oleh anggota staf hospital masyarakat Ren Ci, di mana mangsa menjalani program pemulihan.

Pada pagi 5 Feb 2021, Aye Aye Than sedang menjaga mangsa apabila dia memukul dengan kuat tangan kanan lelaki itu sebelum memukulnya di bahagian muka.

Pada sebelah petang pula, dia menarik kepala mangsa dengan keras sebanyak dua kali.

Perbuatannya itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dan menantu perempuan mangsa membuat laporan polis dua hari kemudian.

Aye Aye Than pada Khamis merayu supaya hukuman diringankan, sambil melahirkan harapan untuk pulang ke negara asal secepat mungkin.

Hukuman bagi menyebabkan kecederaan secara sengaja adalah penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya. Hukuman boleh digandakan sekiranya mangsa adalah golongan lemah.  

Sumber : CNA/IH/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan