Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu rumah dijel curi hampir S$12,000 daripada majikan, buang S$2,650 ke luar tingkap kerana cemas

Sepasang suami isteri yang mengendalikan sebuah gerai makanan dan minuman tidak dapat memasukkan ke dalam bank pendapatan tunai mingguan mereka seperti biasa kerana pandemik COVID-19, lantas mereka menyimpannya di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah dijel curi hampir S$12,000 daripada majikan, buang S$2,650 ke luar tingkap kerana cemas

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 10:15PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 10:16PM

SINGAPURA: Sepasang suami isteri yang mengendalikan sebuah gerai makanan dan minuman tidak dapat memasukkan ke dalam bank pendapatan tunai mingguan mereka seperti biasa kerana pandemik COVID-19, lantas mereka menyimpannya di rumah.

Menyedari hal itu, pembantu rumah Indonesia mereka mencuri hampir S$12,000 dan membelanjakanya dengan membeli beberapa beg, pakaian, kasut mewah dan sebuah telefon bijak iPhone 12 Pro bernilai S$1,290 untuk dirinya. Dia juga menghantar pulang wang sebanyak S$3,000 ke Indonesia melalui bank Western Union.

Ketika disemuka, dia menafikan telah mengambil wang itu, tetapi membuang secekak wang kertas bernilai S$2,650 ke luar tingkap kerana cemas. Wang itu ditemui seorang wanita yang sedang berenang di kolam renang di tingkat bawah.

Aryani dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan pada Selasa (5 Okt). Dia mengaku bersalah dari tempat dia ditahan reman atas satu tuduhan mencuri oleh pembantu.

Mahkamah diberitahu bahawa Aryani bekerja untuk pasangan suami isteri itu di sebuah unit kondominium.

Siasatan menunjukkan bahawa Aryani mengambil empat beg yang mengandungi S$11,635.50 dari April 2021 hingga Julai 2021.

Dia juga mengambil S$200 dari dompet mangsa pada Mac 2021. Secara keseluruhan, dia mencuri S$11,835.50.

Pada 2 Ogos 2021, seorang wanita yang sedang berenang di kolam renang kondominium itu ternampak bungkusan putih di lantai. Beliau mengambil bungkusan itu dan mendapati ia mengandungi beberapa wang kertas S$50 yang diikat dan mempunyai nota kiriman wang Western Union.

Beliau memulangkan wang tunai berjumlah S$2,650 itu ke pejabat pengurusan kondominium tersebut, yang kemudiannya diserahkan kepada polis. Siasatan susulan menunjukkan bahawa Aryani membuang wang tunai itu ke luar tingkap apabila dia mendapat tahu majikannya telah membuat laporan polis dan takut ditangkap mencuri wang itu.

Sehingga kini, dia masih belum lagi mengembalikan wang majikannya itu.

Dia bagaimanapun bersetuju telefon bijak iPhone 12 Pro dan juga gajinya berjumlah S$2,272 yang belum dibayar, disimpan majikannya.

Pendakwa memohon Aryani dikenakan hukuman penjara selama 10 hingga 12 bulan kerana menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan majikannya dan mencuri kerana tamak.

Aryani memohon hakim bagi hukuman penjara lebih ringan meskipun hukuman sudah dijatuhkan. Menurutnya dia perlu mendapatkan pekerjaan baru bagi menyara hidup tiga adik beradiknya yang masih sekolah dan juga kos perubatan ibunya yang memerlukan pemindahan darah setiap bulan. Tambahnya dia satu-satu penyara hidup keluarga setelah kematian bapanya.

Atas kesalahan mencuri oleh pembantu rumah, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.  

Sumber : CNA/RB/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan