Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu rumah dalam ICU, disyaki hidap penyakit otak, majikan kumpul dana untuk biayai kos rawatan

Apabila Cik Siti Sariyah Murbaksari, seorang pembantu rumah warga Indonesia, pertama kali mengadu demam dan sakit kepala yang teruk pada awal Februari, majikannya membawa beliau ke poliklinik.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah dalam ICU, disyaki hidap penyakit otak, majikan kumpul dana untuk biayai kos rawatan

Cik Siti Sariyah Murbaksari. (Gambar: Give.Asia/Instagram)

Diterbitkan : 07 Mar 2020 11:24PM Dikemas Kini : 07 Mar 2020 11:59PM

SINGAPURA: Apabila Cik Siti Sariyah Murbaksari, seorang pembantu rumah warga Indonesia, pertama kali mengadu demam dan sakit kepala yang teruk pada awal Februari, majikannya membawa beliau ke poliklinik.

Doktor yang merawatnya memberi Cik Siti ubat demam dan memberitahunya supaya berehat.

Sekitar dini hari 7 Feb lalu, majikannya terdengar bunyi kuat dari ruang tamu.

"Ibu saya keluar dari bilik dan terlihat Cik Siti terbaring di lantai. Beliau sedang mengalami sawan," menurut Encik Ibrohim, yang enggan memberikan nama penuhnya, kepada Mediacorp pada Jumaat (6 Mac).

Doktor mengesyaki pembantu rumah itu yang berusia 33 tahun mengalami keradangan otak, yang boleh menyebabkan gangguan kognitif, kata Encik Ibrohim, 30 tahun.

Sejak itu, Cik Siti diletakkan dalam keadaan koma di unit jagaan rapi di Hospital Besar Ng Teng Fong. Beliau juga bergantung pada alat sokongan pernafasan.

Cik Siti, yang mempunyai dua anak lelaki berusia empat dan sembilan tahun, sudah bekerja dengan keluarganya Encik Ibrohim sejak 2018.

"Hubungan beliau dengan ibu saya seperti ibu dan anak. Mereka pergi kelas agama bersama-sama dan Siti selalu berusaha untuk menyenangkan keluarga saya," kata Encik Ibrohim, yang tinggal bersama ibu dan adik lelakinya yang berusia 20-an tahun.

Kini, giliran majikan Siti untuk membantunya dalam tempoh sukar ini.

Mereka telah memulakan wadah pengumpulan dana Give.Asia bagi merayu sumbangan derma online. Harapan mereka ialah untuk mengumpul S$200,000 bagi membiayai kos perubatan Cik Siti serta menghantarnya pulang ke Indonesia sekira keadaannya bertambah baik.

Dalam dua hari sahaja, mereka berjaya mengumpul lebih S$60,000.

Sehingga 3 Mac, kos rawatan Cik Siti menelan belanja lebih S$105,000 dan jumlah tersebut kian meningkat kerana beliau masih berada dalam keadaan kritikal.

ANAK SITI TANYA SETIAP HARI: BILA IBU MEREKA AKAN BANGUN?

Encik Ibrohim kerap memberi khabar mengenai keadaan Cik Siti kepada suami beliau yang tinggal di Semarang.

Bercakap kepada Mediacorp menerusi panggilan telefon, Encik Khofur, 38 tahun, berkata beliau terkejut mendengar berita isterinya yang sakit.

"Sejak saya mengenalinya, beliau jarang jatuh sakit. Beliau seorang wanita yang kuat," kata pekerja binaan itu.

Menurut Encik Khofur, anak-anaknya akan bertanya setiap hari: Bila ibu mereka akan bangun?

"Siti biasanya menelefon dan bercakap dengan mereka hampir setiap malam. Oleh itu, mereka amat merinduinya," kata Encik Khofur.

Ditanya sama ada beliau risau mengenai kos perubatan yang kian meningkat, Encik Khofur berkata: "Kami bukan orang kaya dan saya tidak memiliki wang sebanyak itu untuk membayar pihak hospital. Saya hanya mampu berdoa untuk mendapat pertolongan."

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan