Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu klinik, ejen hartanah dipenjara gunakan butiran NRIC pesakit, pelanggan untuk tebus pelitup

Seorang pembantu klinik dan seorang ejen hartanah dijatuhi hukuman penjara pada Isnin (27 Sep) kerana masing-masing menggunakan kad pengenalan milik pesakit dan klien untuk menebus pelitup percuma, menurut laporan TODAY.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu klinik, ejen hartanah dipenjara gunakan butiran NRIC pesakit, pelanggan untuk tebus pelitup

Ang Poh Lay (kiri) dan David Chin Sing Chuin (kanan) di luar Mahkamah Tinggi pada Sep 27, 2021. (Gambar: TODAY)

SINGAPURA: Seorang pembantu klinik dan seorang ejen hartanah dijatuhi hukuman penjara pada Isnin (27 Sep) kerana masing-masing menggunakan kad pengenalan milik pesakit dan klien untuk menebus pelitup percuma, menurut laporan TODAY.

Kes itu berlaku secara berasingan semasa tempoh pengagihan pelitup percuma oleh Yayasan Temasek pada awal tahun ini, yang mana setiap penduduk Singapura layak mengambil satu pelitup berwarna biru dari Livinguard.

PEKERJA KLINIK

Pembantu klinik Ang Poh Lay, 47 tahun, dihukum penjara selama sembilan minggu. Kakitangan di Tan & Yik Clinic & Surgery di Bishan itu mengaku menebus 26 pelitup.

Dia mengaku bersalah melakukan penipuan berkaitan lapan pelitup yang diambil dan satu lagi tuduhan kerana menyimpan maklumat peribadi orang lain tanpa izin mereka untuk melakukan kesalahan itu. Ang merupakan orang pertama didakwa bagi kesalahan sedemikian, lapor TODAY.

Ang mengakses rekod klinik itu antara 1 Mac dengan 7 Mac dengan mengenal pasti pesakit warga emas atau sudah meninggal dunia, atau pembantu rumah yang sudah meninggalkan Singapura. Mahkamah diberitahu bahawa dia menyasarkan golongan itu kerana tahu mereka lebih kemungkinan tidak akan mengambil pelitup tersebut.

Ang mencatit maklumat peribadi lapan pesakit dan juga mengaku mencatit butiran peribadi 18 lagi pesakit.

Perbuatan Ang itu terbongkar setelah seorang mangsa membuat aduan polis pada 13 Mac kerana tidak dapat menebus pelitupnya dan diberitahu sudah diambil orang lain beberapa hari sebelumnyau.

Mangsa mengesahkan beliau menerima petikan skrin dari seorang pekerja Yayasan Temasek tentang individu yang menebusnya, namun mangsa tidak mengenali individu berkenaan. Pihak berkuasa kemudian menggeledah rumah Ang dan merampas 20 pelitup Livinguard, lapor TODAY.

Timbalan Pendakwa Raya Daphne Chee yang memohon bagi hukuman dijatuhkan, berkata kesalahan yang dilakukan Ang bukan hanya sekali dan dia menyalahgunakan jawatannya sebagai seorang pembantu klinik.

Ang, yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah bahawa dia menyedari kesilapannya, lapor TODAY.

EJEN PROPNEX

Dalam kes kedua, David Chin Sing Chuin dihukum penjara selama seminggu kerana menggunakan 11 butiran pelanggannya untuk menebus 11 pelitup. Chin mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu, lapor TODAY.

Chin bekerja untuk PropNex ketika dia melakukan kesalahan itu. Dia mendapatkan nombor kad pengenalan pelanggannya untuk menyediakan dokumen bagi penjualan hartanah mereka.

Antara 1 Mac dengan 14 Mac, dia pergi ke mesin layan diri di beberapa lokasi untuk menebus pelitup menggunakan 10 butiran pelanggannya, lapor TODAY.

Salah seorang mangsa mengadu kepada PropNex, yang kemudian menegur Chin. Chin bagaimanapun berkata dia hanya menggunakan butiran pelanggan sekali sahaja untuk menebus pelitup.

Seorang pekerja pembersihan pejabat berusia 76 tahun yang melanggani khidmat Chin kemudian membuat laporan polis pada 6 Mac selepas menyedari bahawa seseorang menggunakan nombor kad pengenalannya untuk menebus pelitup.

Tempoh pekerjaan Chin bersama PropNex ditamatkan pada 27 April, lapor TODAY.

Dalam rayuannya, Chin memberitahu mahkamah bahawa dia sudah menghubungi mangsa dan menawarkan untuk memulangkan pelitup kepada mereka. Dia juga menghantar satu pelitup melalui kiriman surat atas permintaan mangsa.

Hakim Daerah Ng Peng Hong bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa mesej pencegahan yang tegas harus diberikan bahawa pihak mahkamah tidak bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian, lapor TODAY. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan