Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu wanita 32 tahun dijel, dilarang memandu atas kematian penunggang motosikal

Ketika memandu ke Lapangan Terbang Changi untuk menjemput suaminya pulang tahun lalu, Kang Kai Xin cuba menukar lorong tetapi akhirnya menyebabkan kemalangan yang melibatkan empat kenderaan.  

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu wanita 32 tahun dijel, dilarang memandu atas kematian penunggang motosikal

(Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 11 Jun 2020 05:26PM Dikemas Kini : 11 Jun 2020 05:31PM

SINGAPURA: Ketika memandu ke Lapangan Terbang Changi untuk menjemput suaminya pulang tahun lalu, Kang Kai Xin cuba menukar lorong tetapi akhirnya menyebabkan kemalangan yang melibatkan empat kenderaan.

Seorang penunggang motosikal berusia 28 tahun juga merempuh ke arah kereta yang dipandu Kang dalam nahas tersebut. Beliau kemudian meninggal dunia dan pemboncengnya cedera parah termasuk beberapa patah tulang belakang dan pelvis serta kecederaan otak traumatik yang teruk.

Kang, 32 tahun, pada Khamis (11 Jun) dijatuhi hukuman penjara selama tiga minggu dan dilarang memandu semua jenis kenderaan selama lima tahun.

Sebelum ini dia mengaku bersalah di mahkamah daerah atas satu tuduhan menyebabkan kematian penunggang motosikal, Chew Chuan Chern, disebabkan tindakan melulu. Tuduhan kedua menyebabkan kecederaan teruk pada pembonceng motosikal berkenaan, Cik Marie Hong, turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu pada 19 April tahun lalu, Kang sedang memandu di CTE menghala ke Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) pada sekitar 11.45 malam.

Dalam percubaannya untuk menukar lorong ke bahagian sebelah kiri, dia melanggar satu lagi kereta yang sedang dipandu di lorong tersebut. Ketika itu, Kang memandu pada kelajuan kira-kira 80 hingga 90 kilometer sejam.

Kereta yang dipandu Kang kemudian secara mendadak melencong ke kanan dan merempuh kereta kedua sebelum melanggar penyangga jalan di lorong paling kanan, tempat di mana Chew menunggang motosikalnya.

Encik Chew dan pemandu kereta ketiga tidak sempat menekan brek lantas merempuh kereta Kang. Akibatnya, kedua-dua Encik Chew dan pembocengnya terhumban daripada motosikal tersebut.

Kang keluar dari keretanya lalu menghubungi ambulans.

Pasukan paramedik mengesahkan Encik Chew meninggal dunia di tempat kejadian. Beliau mengalami beberapa kecederaan termasuk retak tulang tengkorak dan beberapa kesan lebam, luka dan melecet di merata bahagian anggota badannya.

Cik Hong dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) manakala Kang dibawa ke Hospital Besar Sengkang (SGH). Kang mengalami kecederaan ringan seperti kesan melecet pada lengannya dan berada dalam keadaan sedar semasa diperiksa selepas kemalangan itu.

Kang akan mula menjalani hukumannya pada Jumaat.

Dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali kerana menyebabkan kematian dek tindakan cuai yang tidak membawa kepada pembunuhan.   

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan