Images
  • sg covid (1)
    Pejalan kaki di Singapura. (Gambar fail: Calvin Oh)

Pemandu treler di Terminal Brani, Pasir Panjang kes tunggal COVID-19 dalam masyarakat

SINGAPURA: Sebanyak 16 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat pukul 12.00 tengah hari pada Rabu (5 Mei).

Dalam kalangan kes-kes yang dilaporkan, 13 tidak mengalami simptom dan dikesan menerusi pemeriksaan proaktif dan pemantauan manakala tiga kes mengalami gejala.

15 kes yang dilaporkan merupakan kes import yang diberikan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di sini.

Terdapat 1 kes jangkitan dalam masyarakat yang mempunyai hubung kait dengan kes-kes sebelumnya.

Kes 62824 merupakan seorang lelaki warga Singapura berusia 59 tahun yang bekerja untuk GKE Express Logistics Pte Ltd sebagai seorang pemandu trak treler di Terminal Brani dan Terminal Pasir Panjang. Beliau kali terakhir pergi bertugas pada 1 Mei.

Pada 2 Mei, beliau mengalami demam dan sakit tekak dan tidak keluar rumah. Beliau mendapatkan rawatan perubatan pada keesokan hari di sebuah klinik GP dan diuji bagi COVID-19.

Beliau diuji positif COVID-19 pada 4 Mei dan dibawa ke Hospital Alexandra dengan menaiki ambulans.

Keputusan ujian serologinya belum lagi diperolehi.

Siasatan MOH mendapati bahawa Kes 618221, 626842, 626913 dan 62824 berada di Terminal Pasir Panjang untuk bekerja dan jangkitan mungkin berlaku di Terminal itu.

Siasatan epidemiologi selanjutnya sedang dijalankan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH akan menjalankan operasi ujian khas untuk menguji para pekerja pelabuhan digajikan oleh PSA Singapore yang dikerahkan untuk bekerja di Terminal Pasir Panjang.

Lima rakyat Singapura dan dua penduduk tetap Singapura yang pulang dari India, Indonesia, Thailand, Britain dan Amerika Syarikat merupakan antara kes-kes import yang dilaporkan pada Rabu.

Satu lagi kes melibatkan seorang pemegang pas tanggungan yang tiba dari India dan mempunyai seorang anggota keluarga warga Singapura.

Lagi dua kes merupakan pemegang pas kerja yang tiba dari India dan Myanmar. Mereka telah mula mengikuti pengajian di Singapura sebelum ini dan pulang ke negara asal atau ditempatkan ke dalam kursus masing-masing lebih awal.

Tiga kes adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Filipina, Sri Lanka dan Thailand.

Lagi dua kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Filipina dan Sri Lanka yang mana salah seorang daripada mereka adalah pembantu rumah hijrahan.

KES-KES SECARA KESELURUHAN

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat dari 13 kes pada minggu sebelumnya kepada 62 kes pada minggu lalu.

Jumlah kes dalam masyarakat tanpa hubung kait juga bertambah dari enam kes pada minggu sebelumnya kepada tujuh kes pada minggu lalu.

Dalam kalangan 182 kes disahkan yang dilaporkan antara 29 April dengan 5 Mei, 49 kes diuji positif dalam ujian serologi, 101 diuji negatif dan lagi 32 belum lagi mendapat keputusannya.

Lagi 21 kes jangkitan dibenarkan pulang daripada hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhan, 60,844 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan pulang.

131 kes COVID-19 masih dirawat di hospital. Dalam kalangan jumlah itu, sebilangan besar berada dalam keadaan stabil atau beransur pulih. Dua kes kini berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

262 kes sedang menjalani pengasingan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

- BERITAmediacorp/ha

Top