Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu terlibat kemalangan maut di Lucky Plaza dipenjara

Pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut di Lucky Plaza yang meragut nyawa dua pembantu rumah dan mencederakan empat yang lain, dijatuhkan hukuman penjara dua setengah tahun pada Jumaat (24 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu terlibat kemalangan maut di Lucky Plaza dipenjara

Chong Kim Hoe memasuki bangunan Mahkamah Negara pada 2 Sep 2021. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 24 Sep 2021 01:09PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 01:13PM

SINGAPURA: Pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut di Lucky Plaza yang meragut nyawa dua pembantu rumah dan mencederakan empat yang lain, dijatuhkan hukuman penjara dua setengah tahun pada Jumaat (24 Sep).

Chong Kim Hoe, warga Malaysia berusia 66 tahun itu juga diharamkan memandu semua jenis kenderaan selama 10 tahun setelah dibebaskan dari penjara.

Chong mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 29 Disember 2019, bekas pemandu kereta sewa privet itu telah menerima tempahan di Orchard Road semasa memandu di Nutmeg Road di belakang Lucky Plaza.

Chong secara tidak sengaja menekan pedal minyak ketika membuat pusingan-U, menyebabkan kenderaannya terbabas lalu menaiki laluan jalan kaki, merempuh pagar keselamatan sebelum jatuuh beberapa meter ke lorong tempat meletak kereta Lucky Plaza.

Kemalangan itu menyebabkan kematian dua wanita - Abigail Danao Leste, 41 tahun, dan Arlyn Picar Nucos, 50 tahun - dan mencederakan empat yang lain.

Kesemua enam wanita itu adalah pembantu rumah dari Filipina.

Peguam Chong, Kalaithasan Karuppaya dari Regent Law, memohon hukuman lebih ringan buat anak guamnya, yang menurut beliau telah "dibelenggu rasa kesal dan keresahan" setelah kejadian itu.

Chong bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak melarikan diri dari tempat kejadian, katanya.

Tambah Encik Kalaithasan, Chong telah memandu selama 44 tahun dan tidak pernah terlibat dalam kemalangan serius sebelum kemalangan yang berlaku hampir dua tahun lalu itu.

Namun, mahkamah diberitahu bahawa Chong pernah didenda empat kali sebelum itu kerana tidak berhenti di isyarat lampu merah.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Koo Zhi Xuan berkata meskipun tahap kesalahan Chong mungkin rendah, namun bahaya yang ditimbulkan adalah tinggi.

Kemalangan itu adalah satu peringatan tentang pentingnya tanggungjawab pengguna jalan raya terhadap orang lain, katanya, sambil menambah bahawa keluarga mangsa harus menghadapi "hakikat malang bahawa ibu, kakak atau anak perempuan mereka tidak akan kembali".

Atas kesalahan menyebabkan kematian semasa memandu kenderaan bermotor, Chong boleh dipenjara hingga lapan tahun.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan