Pemandu teksi cedera dalam kemalangan 5 kenderaan di Airport Boulevard
Seorang pemandu teksi berusia 61 tahun dikejarkan ke hospital selepas berlaku kemalangan berantai yang melibatkan lima kenderaan di Airport Boulevard menghala Lapangan Terbang Changi pagi tadi (26 Feb).
SINGAPURA: Seorang pemandu teksi berusia 61 tahun dikejarkan ke hospital selepas berlaku kemalangan berantai yang melibatkan lima kenderaan di Airport Boulevard menghala Lapangan Terbang Changi pagi tadi (26 Feb).
Polis menyatakan ia dimaklumkan tentang kemalangan yang melibatkan tiga teksi dan dua kereta pada sekitar 7.50 pagi.
Pemandu yang cedera itu berada dalam keadaan sedar semasa beliau dikejarkan ke Hospital Besar Changi. Mediacorp difahamkan pemandu itu mengadu rasa sakit.
Gambar-gambar menunjukkan dua kereta putih dan sebuah teksi ComfortDelgro terlibat dalam kemalangan tersebut. Salah satu kereta putih, model Toyata, remuk di bahagian depan dan belakangnya.
Namun, belum jelas teksi syarikat mana yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut. Teksi yang berada di bahagian depan dalam kemalangan berantai itu mengalami kerosakan kecil dan pemandunya sudah meninggalkan tempat kejadian sebelum polis tiba di sana.
Mediacorp difahamkan kemalangan itu berlaku dalam keadaan trafik yang sesak.
Empat kenderaan pertama yang terlibat dalam nahas tersebut tidak bergerak kerana laluan trafik sesak ketika itu.
Kenderaan kelima pula merempuh bahagian belakang kenderaan keempat - iaitu teksi yang dipandu oleh lelaki yang cedera - sehingga berlaku kemalangan berantai.
Video yang dimuat naik online menunjukkan kemalangan tersebut berlaku di lorong kedua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.