Images
  • grab driver app file
    Gambar fail pemandu dan aplikasi sewa kereta privet Grab (Gambar: TODAY)

Pemandu sambilan dijangkiti COVID-19, digantung sementara dari wadah Grab

SINGAPURA: Seorang pemandu sambilan yang dijangkiti COVID-19 baru-baru ini, digantung buat sementara waktu dari wadah Grab, menurut syarikat khidmat kereta sewa privet itu pada Selasa (29 Dis).

Lelaki berusia 48 tahun itu, yang juga seorang pramugara Singapore Airlines, dilaporkan sebagai kes jangkitan dalam masyarakat oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (28 Dis).

"Kami berhubung rapat dengan MOH dan menyediakan semua butiran penting bagi menyokong usaha menjejaki kontak yang dijalankan oleh kementerian itu," menurut Grab sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan Grab, pemandu itu digantung buat sementara waktu dari wadah Grab."

Pemandu tersebut mendapat perlindungan di bawah skim insurans Cuti Sakit Berpanjangan Grab dan layak menerima bantuan pendapatan COVID-19 sekali sahaja untuk pemandu Grab yang dikuarantin atau dimasukkan ke hospital kerana COVID-19, menurut syarikat itu.

"Grab ingin memberi jaminan kepada pengguna kami bahawa keselamatan dan kesejahteraan mereka adalah keutamaan kami," katanya sambil menambah bahawa usaha dijalankan sejak Jun bagi menguatkuasakan piawai keselamatan dan kebersihan lebih tinggi dalam perjalanan, termasuk menyedikan sanitiser tangan dan pembasmi kuman secara percuma di Pusat Pemandu Grab.

Para pelanggan juga boleh membatalkan tempahan mereka jika pemandu atau penumpang tidak memakai pelitup atau kelihatan dalam keadaan tidak sihat. Mereka juga boleh memberi maklum balas mengenai keprihatinan berkaitan kesihatan atau kebersihan selepas setiap perjalanan, menurut Grab.

Lelaki berkenaan diuji positif COVID-19 pada 27 Dis selepas hasil ujiannya pada 23 Dis dan 25 Dis tidak dapat diputuskan, menurut MOH. Beliau kemudian dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit pada hari yang sama.

Lelaki itu yang tidak mengalami simptom, tidak keluar rumah sementara menanti ujian lanjut.

Keputusan ujian serologinya adalah negatif, yang menunjukkan bahawa beliau mungkin jangkitan COVID-19 baru.

Pramugara itu melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat antara 12 Dis hingga 16 Dis bagi tujuan kerja, namun pihak kementerian meletakkan kesnya sebagai kes masyarakat kerana "tempoh jarak masa yang agak lama" antara perjalanan yang dibuat dan ujian positif COVID-19, menurut MOH.

- CNA/HA/ha

Top