Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu penghantaran Ninja Van dijel curi barangan bernilai S$34,000

Seorang pemandu penghantaran Ninja Van dijatuhi hukuman penjara 15 minggu pada Selasa (17 Ogos) kerana menggelapkan puluhan bungkusan bernilai S$34,000 yang ditandakan sebagai hilang tetapi disimpan di rumah ibu mertuanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu penghantaran Ninja Van dijel curi barangan bernilai S$34,000

(Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 17 Aug 2021 07:16PM Dikemas Kini : 17 Aug 2021 07:21PM

SINGAPURA: Seorang pemandu penghantaran Ninja Van dijatuhi hukuman penjara 15 minggu pada Selasa (17 Ogos) kerana menggelapkan puluhan bungkusan bernilai S$34,000 yang ditandakan sebagai hilang tetapi disimpan di rumah ibu mertuanya.

Apabila syarikat Ninja Van mendapat tahu tentang jenayahnya dan polis menyerbu rumah Muhammad Nur Sheqal Azis, mereka menemui lebih 100 barangan yang dicuri sepanjang tempoh lima bulan.

Sheqal, 31 tahun mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah jenayah dengan mencuri.

Mahkamah diberitahu bahawa Sheqal bekerja dengan Ninja Van selama sekitar satu setengah tahun apabila dia mula mencuri barangan daripada syarikat tersebut.

Dia akan mendapatkan bungkusan yang perlu dihantar daripada kakitangan di gudang. Namun, dia akan mengelak langkah wajib mengimbas setiap barangan menggunakan telefon bijaknya sebelum membuat penghantaran.

Syarikat berkenaan meletakkan kepercayaan kepadanya untuk mengimbas setiap barangan kerana dia sudahpun bekerja di sana agak lama dan tidak ada orang yang memeriksa tindakannya itu, kata pendakwa.

Sheqal kemudian akan melaporkan barangan itu hilang kepada penyelianya sebelum menyimpan barang tersebut dalam van kerja dan memandu ke rumah ibu mertuanya di mana dia menyimpan barang berkenaan buat sementara.

Selepas itu, dia akan memindahkan barangan yang dicuri ke rumahnya sendiri untuk disimpan.

Dia mula melakukan demikian dari sekitar Jun 2019 hingga 13 November 2019. Tindakannya itu pada mulanya tidak dikesan kerana "terlalu banyak pergerakan di gedung itu lantas sukar untuk Ninja Van memantau rakaman CCTV," kata Timbalan Pendakwa Raya Phoebe Tan.

Barangan yang dicuri juga agak kecil, lebih sukar untuk dikesan.

Pada Oktober 2019, syarikat itu menyedari bahawa barangan yang dilaporkan hilang semakin meningkat. Seorang pengurus di Ninja Van, Cik Li Mengxia menjalankan pemeriksaan dan mendapati bahawa barangan yang dilaporkan hilang itu dikaitkan dengan Sheqal.

Beliau memutuskan untuk mengesahkan kecurigaannya itu pada 13 November 2019 dengan meletakkan telefon bijak peribadinya untuk dihantar di bawah sektor penghantaran Sheqal.

Tiada bil jalan udara yang dilekatkan pada telefonnya itu dan oleh sebab itu, Sheqal sepatutnya memulangkan bungkusan tersebut kepada penyelia sektornya.

Namun, dia tidak mematuhi protokol. Cik Li kemudian bersemuka dengan tertuduh namun Sheqal dia mendakwa tiada bungkusan sedemikian pada hari itu.

Beliau memeriksa van Sheqal dan menemui bungkusan yang mengandungi telefon bijak peribadinya itu di dalam. Apabila ditanya sama ada dia berniat untuk mengambil telefon itu, dan jika dia ada mengambil bungkusan lain yang sepatutnya dihantar, Sheqal menafikan melakukan sedemikian.

Syarikat itu membuat aduan polis. Sheqal akhirnya mengaku bersalah atas jenayah yang dilakukan kepada polis dan membawa mereka ke rumahnya.

Sejumlah 106 barangan bernilai S$34,035 ditemui di rumahnya. Barangan itu kebanyakannya berkaitan teknologi seperti telefon bijak dan aksesori, tablet, jam tangan dan speaker tanpa wayar.

Barang yang paling mahal yang dicuri adalah telefon-telefon Samsung Galaxy Note 10+ yang berharga S$1,598 setiap satu.

Pihak pendakwa meminta tempoh penjara antara empat dengan enam bulan. Hakim membenarkan Sheqal memulakan hukuman penjara pada hujung bulan ini.

Dia boleh dijatuhi hukuman jel sehingga tujuh tahun dan didenda atas kesalahan pecah amanah jenayah.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan