Images
  • accident
    Gambar yang dikongsi menerusi wadah WhatsApp menunjukkan kenderaan remuk dalam nahas di Lebuh Raya Pulau Jurong pada 9 Jan. 

Pemandu lori dalam kemalangan Lebuh Raya Pulau Jurong digantung tugas

SINGAPURA: 21 pekerja yang dikejarkan ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pulau Jurong sudah dibenarkan pulang. Seorang lagi dijangka boleh pulang esok (13 Jan).

Dalam kejadian pada pagi Rabu (9 Jan), sebuah lori yang sedang dalam perjalanan membawa ramai pekerja ke tempat kerja, melanggar sebuah bas dari belakang. Lori tersebut kemudian melanggar bahagian tepi sebuah lagi bas.

Syarikat yang menggajikan pekerja dalam kemalangan itu, Multiheight Scaffolding, memberitahu Mediacorp bahawa pemandu lori tersebut merupakan pekerjanya, dan dia antara 23 orang yang dikejarkan ke hospital semasa kejadian.

Namun, pemandu berusia 67 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang pada hari yang sama. Dia ditahan Polis Trafik bagi membantu dalam siasatan.

19 pekerja lain turut dibenarkan pulang pada hari kemalangan berlaku, dan dua lagi pulang dari hospital pada Khamis (10 Jan).

Mereka mengalami kecederaan ringan seperti kulit melecet dan lebam, menurut jurucakap syarikat tersebut.

Pemandu terbabit, yang sudah bekerja bersama Multiheight selama lapan tahun, digantung tugas sepanjang memberi membantu polis dalam siasatannya.

Syarikat itu menambah, kos rawatan perubatan para pekerjanya ditanggung syarikat insurans. Mereka akan diberi pampasan sepanjang menjalani rawatan dan pemulihan.

Para pekerja dan pemandu juga diletakkan di bawah pengawasan bagi trauma. Pengurusan trauma akan ditawarkan kepada mereka yang memerlukannya.  

- CNA/AQ/aq

Top