Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu limusin didenda gara-gara tendang kereta yang halang laluannya di petak kuning

Terperangkap dalam kesesakan trafik dan terdesak perlu menggunakan tandas menyebabkan seorang pemandu limusin hilang sabar apabila seorang pemandu memotong jalannya di persimpangan petak kuning dekat Orchard Road.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu limusin didenda gara-gara tendang kereta yang halang laluannya di petak kuning

Petikan Google Street View di persimpangan Orchard Boulevard dan Orchard Turn.

Diterbitkan : 08 Jul 2021 10:35PM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 10:37PM

SINGAPURA: Terperangkap dalam kesesakan trafik dan terdesak perlu menggunakan tandas menyebabkan seorang pemandu limusin hilang sabar apabila seorang pemandu memotong jalannya di persimpangan petak kuning dekat Orchard Road.

Chad Tan Eng Hui, 27 tahun turun dari kenderaannya lalu menendang bahagian depan kereta mangsa sambil menjerit dan memberi isyarat secara agresif sebelum menumbuk pintu di bahagian pemandu kereta itu.

Tan didenda S$4,500 di mahkamah hari ini (8 Jul). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan perbuatan nakal, dengan tuduhan kedua sengaja menyebabkan rasa cemas diambil kira.

Mahkamah diberitahu bahawa Tan merupakan seorang pemandu bebas kereta limusin ketika kejadian itu berlaku pada Mei 2019.

Kira-kira pukul 6.30 petang pada 17 Mei 2019, Tan berada berhampiran tempat letak kereta Ion Orchard.

Menurut peguam bela, Tan sebelum itu bekerja selama 11 jam.

Tan benar-benar perlu menggunakan tandas, kata peguamnya Ashwin Ganapathy, namun kesuntukan masa untuk mencari tandas kerana dia mempunyai jadual ketat dan perlu ke Beach Road pada pukul 7.00 malam untuk melakukan satu lagi tugas.

Ketika itu Tan cuba memandu keluar dari Orchard Turn menghala ke Orchard Boulevard, apabila mangsa, seorang lelaki berusia 60 tahun sedang memandu menghala ke tempat letak kereta Ion Orchard.

Kedua-dua kenderaan terperangkap dalam kesesakan trafik waktu sibuk yang bergerak perlahan. Peguam bela berkata Tan tidak diberi sebarang ruang untuk memandu keluar, dengan kenderaan-kenderaan berhenti dalam petak kuning di persimpangan itu.

Apabila lampu bertukar warna hijau, Tan cuba memandu keluar namun dihadang oleh mangsa yang berhenti dalam petak kuning, kata Encik Ganapathy.

Tan mula berasa marah kerana dia menganggap mangsa tidak berbudi bahasa kerana enggan memberi laluan kepadanya meskipun Tan berhak menggunakan laluan itu, mahkamah diberitahu.

Tan turun dari keretanya lalu menendang bahagian depan kereta mangsa sambil menjerit dan menunjukkan isyarat secara agresif.

Dia kemudian mengetuk tingkap mangsa dan mengugut supaya mangsa menurunkan tingkapnya sebelum menegur tentang caranya memandu.

Tan menendang dan menumbuk pintu kereta mangsa sebelum kembali ke keretanya sendiri.

Perbuatannya itu meninggalkan lekuk pada bahagian depan dan pintu kereta mangsa, selain menyebabkan cat terhakis.

Selepas kejadian itu, mangsa mendapatkan sebut harga bagi kerja-kerja pembaikan yang bernilai sehingga S$7,074.84. Beliau bagaimanapun memutuskan untuk melakukan hanya separuh daripada kerja-kerja pembaikan yang berharga hanya S$550.

Tan sudah membayar mangsa S$3,500, yang diterima oleh mangsa sebagai pampasan penuh dan adil atas kerugian yang dialaminya.

Encik Ganapathy berkata anak guamnya mengaku bahawa dia bersalah dan tidak seharusnya bertindak sedemikian. Dia bimbang jika terlewat untuk tugas yang seterusnya kerana dia pernah dikenakan denda S$200 setelah tiba lewat dua minit setelah seorang penumpang membuat aduan.

"Selain itu, anak guam saya juga terdesak untuk menggunakan tandas dan ini menambah amarahnya. Ini menyebabkan dia tidak dapat membuat keputusan secara waras," kata peguam bela.

Atas kesalahan melakukan perbuatan nakal, Tan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan