Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu kargo warga Malaysia boleh elakkan ujian COVID-19 menerusi kaedah ini...

Pemandu kargo warga Malaysia yang divaksinasi di Singapura boleh menggunakan kad vaksinasi yang diberikan kepada mereka, bersama dengan token atau aplikasi TraceTogether (TT), sebagai pengesahan status vaksinasi mereka di Koswe.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu kargo warga Malaysia boleh elakkan ujian COVID-19 menerusi kaedah ini...

Koswe Singapura-Malaysia. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 16 Apr 2021 10:54PM Dikemas Kini : 16 Apr 2021 10:56PM

SINGAPURA: Pemandu kargo warga Malaysia yang divaksinasi di Singapura boleh menggunakan kad vaksinasi yang diberikan kepada mereka, bersama dengan token atau aplikasi TraceTogether (TT), sebagai pengesahan status vaksinasi mereka di Koswe.

Dengan ini mereka tidak perlu menjalani ujian ketibaan, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI) pada Jumaat (16 Apr).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap dari MTI berkata pemandu kargo dan kakitangan yang menemani mereka yang sudah divaksinasi di Singapura akan dikecualikan daripada ujian COVID-19 semasa ketibaan, 14 hari selepas dos kedua mereka.

"Mereka diberikan kad vaksinasi dan dinasihatkan supaya membawanya, bersama dengan token atau aplikasi TT mereka, ketika memasuki Singapura," kata jurucakap itu.

"Token dan aplikasi TT mengandungi status vaksinasi pemandu kargo dan kakitangan yang menemaninya dan akan bertindak sebagai lapisan pengesahan tambahan. Individu-individu ini akan diperlukan untuk menjalani ujian di pusat pemeriksaan dari semasa ke semasa."

Pada Januari, beberapa pemandu mengadu bahawa mereka mengalami kelengahan di pusat pemeriksaan laluan darat setelah Pemerintah Singapura mengumumkan bahawa ujian pantas antigen COVID-19 akan dilancarkan secara progresif untuk pemandu kargo Malaysia yang menghantar barang-barang penting ke Singapura.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengumumkan pada Mac bahawa pemandu kargo terpilih dan kakitangan yang menemani mereka yang memasuki negara ini dari Malaysia secara kerap akan ditawarkan vaksinasi.

MTI kemudian menyatakan bahawa pemandu dan kakitangan yang menemaninya yang sudah menerima kedua-dua dos akan menerima sijil imunisasi dan dikecualikan daripada ujian ketibaan setiap hari 14 hari selepas dos kedua.

KADAR RESPONS "POSITIF" DARI PEMANDU: MTI

Dalam kenyataannya pada Jumaat, MTI menambah bahawa kadar respons dalam kalangan pemandu yang dihubungi untuk vaksinasi adalah "positif".

"Kami akan terus menghubungi mereka yang terpilih dan menjadualkan mereka untuk vaksinasi dengan sewajarnya," katanya.

Kementerian itu menambah bahawa pemandu yang belum diberi vaksin di Singapura masih akan dibenarkan masuk ke negara ini, tetapi mereka akan tertakluk di bawah tindakan kesihatan sempadan sedia ada seperti ujian semasa ketibaan.

MTI menambah bahawa pemandu kargo dan pegawai yang menemani mereka masuk Singapura, tanpa mengira status vaksinasi, akan diminta untuk mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat semasa menjalankan tugas mereka, seperti mengehadkan pergerakan hanya ke tempat penghantaran, memastikan pemeriksaan SafeEntry dan pemeriksaan suhu badan dilakukan sebelum memasuki lokasi penghantaran, dan menjaga jarak selamat sepanjang masa, termasuk semasa pemunggahan dan penghantaran barang. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan