Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Grab dihadapkan ke mahkamah, cabul 2 budak perempuan 7, 10 tahun

Seorang budak perempuan berusia 10 tahun menempah khidmat Grab untuk pergi ke rumah temannya untuk bermalam di sana. Semasa dalam perjalanan, pemandu Grab itu didakwa menyentuh kanak-kanak tersebut ketika dia duduk bersama anjingnya di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Grab dihadapkan ke mahkamah, cabul 2 budak perempuan 7, 10 tahun

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 13 Jul 2021 10:05PM Dikemas Kini : 13 Jul 2021 10:07PM

SINGAPURA: Seorang budak perempuan berusia 10 tahun menempah khidmat Grab untuk pergi ke rumah temannya untuk bermalam di sana. Semasa dalam perjalanan, pemandu Grab itu didakwa menyentuh kanak-kanak tersebut ketika dia duduk bersama anjingnya di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Lelaki itu, Lom Mun Hoi, kini berusia 47 tahun, dibicarakan di Mahkamah Negara pada Selasa (13 Jul) kerana mencabul seorang murid Darjah 4 dan seorang lagi budak perempuan berusia tujuh tahun.

Kedua-dua mangsa tidak boleh didedahkan nama mereka atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mereka. Anggota keluarga dan teman-temannya yang memberi keterangan juga tidak boleh dinamakan.

Lom mencabar tiga tuduhan mencabul yang dikenakan terhadapnya, satu berhubung budak perempuan berusia 10 tahun itu.

Warga Singapura itu dituduh menyentuh lutut budak itu sebanyak dua kali pada petang 25 Ogos 2017 di persimpangan trafik di Yishun, dengan niat mencabul kehormatannya.

Bagi mangsa yang berusia tujuh tahun pula, Lom dikatakan menyentuh bahagian paha budak tersebut dari luar pakaian sebanyak dua kali dalam masa 10 minit ketika mereka berada di dalam keretanya di Tampines Mall pada 14 Jun 2017.

Pada Selasa (13 Jul), empat saksi pendakwaan memberi keterangan tentang aduan oleh mangsa yang berusia 10 tahun. Mereka adalah seorang pakar psikiatrik kanak-kanak yang menemu bualnya, teman budak itu serta ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Mahkamah belum lagi mendengar testimoni daripada mangsa yang berusia tujuh tahun.

DITANYA SOALAN

Dr Bernardine Woo, seorang konsultan kanan di klinik bimbingan kanak-kanak Institut Kesihatan Mental membentangkan di mahkamah laporan yang beliau sediakan pada Januari 2018 setelah menemu bual mangsa yang berusia 10 tahun dan ibunya.

Polis merujuk kanak-kanak itu kepada Dr Woo bagi penilaian sama ada dia layak untuk memberi keterangan dan kesan kejadian itu terhadapnya.

Budak itu memberitahu Dr Woo bahawa dia menempah kereta Grab untuk pergi ke rumah temannya di Yishun. Sebelum menaiki kereta Lom dengan anjingnya, dia meletakkan begnya dalam but kereta.

Lom didakwa bertanya budak itu destinasi serta alamat tempat tinggalnya. Budak itu berbohong tentang alamat rumahnya. Lom juga dikatakan berkata dia akan mencari budak itu dan membawanya ke McDonald's.

Laporan Dr Woo menyatakan bahawa kanak-kanak itu berkata Lom berpusing dari tempat duduknya ketika berada di simpang lampu trafik, dan menyentuh serta menggosok lututnya. Mangsa pada ketika itu duduk di belakang tempat duduk penumpang di hadapan.

Mangsa memberitahu Dr Woo bahawa apabila mereka tiba di rumah temannya, Lom menyentuh pipinya lalu memberitahunya supaya menjaga diri dan memberinya tiga gula-gula.

Dia berasa takut lalu segera turun daripada kereta itu. Dia kemudian memberitahu temannya apa yang berlaku.

Kawannya memberi keterangan bahawa mangsa berasa tidak selesa. Ibu bapa temannya juga memberi keterangan bahawa mereka pulang tidak lama kemudian. Setelah mendapat tahu tentang kejadian itu, bapa kepada teman mangsa itu menghubungi Grab untuk membuat aduan lalu memberitahu isterinya supaya menelefon ibu mangsa.

Ibu mangsa kemudian membawanya ke balai polis untuk membuat aduan polis.

Perbicaraan diteruskan pada September. Lom dibebaskan dengan ikat jamin S$20,000.

Jika didapati bersalah mencabul individu bawah umur 14 tahun, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan ketiga-tiga hukuman itu.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan