Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Ferrari 73 tahun mengaku bersalah halang laluan Orchard Road

Apabila para pegawai tiba di tempat kejadian, Shi masih lagi berada di dalam keretanya yang merintangi dua lorong.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Ferrari 73 tahun mengaku bersalah halang laluan Orchard Road

Shi Ka Yee didapati bersalah atas kesalahan menyerang pemandu lain. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

Diterbitkan : 16 Jul 2018 03:26PM Dikemas Kini : 16 Jul 2018 03:30PM

SINGAPURA: Pemandu Ferrari Shi Ka Yee, yang pernah menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menyerang seorang pemandu lain, mengaku bersalah hari ini (16 Jul) kerana menghalang laluan di Orchard Road dengan keretanya dua tahun lalu.

Shi, 73 tahun, menghentikan keretanya di tengah-tengah lorong ketiga dan keempat di Orchard Road selepas Claymore Road, pada 29 Jun 2016, sekitar jam 5.40 petang.

Dia memandu di hadapan bas privet yang membawa kira-kira 20 penumpang dari Scotts Road ke Depot Road.

Mahkamah diberitahu, Shi memandu dengan perlahan sekali, menyebabkan pemandu bas di belakangnya yang berusia 41 tahun, memandu pada tahap kelajuan lima kilometer sejam.

Pemandu bas itu membunyikan hon dua kali sebagai amaran kepada Shi. Apabila mereka tiba di persimpangan-T di Claymore Road dan Orchard Road, Shi mula belok ke kiri, diikuti pemandu bas itu.

Walaubagaimana pun, Shi tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan Orchard Road dan mengambil ruang lorong ketiga dan keempat.

Pemandu bas, Encik Wu Xiaokui, tidak sempat menyempurnakan pusingannya kerana dihalang oleh kereta Ferrari Shi. Bas itu mengambil ruang di lorong ketiga, keempat dan kelima.

Shi dan Encik Wu keluar dari kenderaan mereka dan Shi
memberitahu pemandu itu bahawa beliau patut pulang ke China jika beliau ingin membunyikan hon basnya.

Encik Wu meminta Shi untuk mengalihkan keretanya ke tepi jalan raya, tetapi Shi enggan melakukannya.

MASIH DI DALAM KERETA KETIKA POLIS TIBA

Para pegawai di dalam kereta polis rondaan yang secara kebetulan sedang melalui Orchard Road mendapati keadaan trafik sesak.

Apabila para pegawai tiba di tempat kejadian, Shi masih lagi berada di dalam keretanya yang merintangi dua lorong.

Para pegawai meminta Shi untuk mengalihkan keretanya tetapi Shi berkata bahawa dia tidak mahu bas itu beredar kerana dia sedang menghubungi polis untuk melaporkan kelakuan Encik Wu. Shi akhirnya mematuhi perintah dan memandu pergi dari tempat itu.

Satu lagi tuduhan menggunakan kata-kata kesat terhadap Encik Wu diambil kira dalam sabitan Shi hari ini.

Bagi kesalahan menghentikan kenderaan di jalan raya dengan cara yang menyebabkan halangan kepada pengguna-pengguna jalan raya lain, Shi boleh dipenjara sehingga tiga bulan dan didenda sebanyak S$1,000 untuk kesalahan pertama. Denda digandakan dua kali bagi kesalahan yang seterusnya. 

Sumber : CNA/KN/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan