Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu bawah umur mengaku bersalah sebabkan kematian pembonceng motosikal

Seorang pemandu bawah umur yang menyewa sebuah kereta dengan menipu dan kemudian melanggar sebuah motosikal lalu mengakibatkan pemboncengnya mati, mengaku bersalah pada Isnin (13 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu bawah umur mengaku bersalah sebabkan kematian pembonceng motosikal

Kemalangan berlaku pada Mei 2016 (Gambar: Facebook/Roads.sg)

Diterbitkan : 13 Aug 2018 06:36PM Dikemas Kini : 13 Aug 2018 06:41PM

SINGAPURA: Seorang pemandu bawah umur yang menyewa sebuah kereta dengan menipu dan kemudian melanggar sebuah motosikal lalu mengakibatkan pemboncengnya mati, mengaku bersalah pada Isnin (13 Ogos).

Ong Han You, kini 20 tahun, mengaku bersalah atas tiga tuduhan iaitu memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian, gagal memberi bantuan dan menipu. Lima lagi tuduhan dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Pada 21 Mei 2016, Ong yang ketika itu berusia 17 tahun, sedang menghantar temanitanya menggunakan sebuah kereta sewa. Dia meminta seorang temannya, Tan Jun Jie, untuk menyewa kereta tersebut menggunakan kad pengenalan orang lain.

Ketika memandu, Ong hilang kawalan dan melanggar sebuah motosikal di hadapannya di simpang-T antara Ang Mo Kio Avenue 5 dengan Ang Mo Kio Industrial Park 2, menurut dokumen mahkamah.

Ini mengakibatkan penunggang dan penumpangnya tercampak dari motosikal tersebut.

Selepas melanggar motosikal berkenaan, kereta Ong terus memecut ke depan, menuju ke arah Upper Thomson Road bertentangan arus trafik. Kenderaan tersebut berlanggar dengan bahagian depan sebuah teksi sebelum berhenti.

Ong kemudian turun daripada keretanya dan melihat mangsa, Cik Lau Lee Kiaw, terlantar di atas rumput dan mengalami kesukaran bernafas.

Apabila melihat Cik Lau tidak memberi respons selepas dipanggil, Ong dan temanitanya melarikan diri dengan menaiki teksi "kerana takut akan akibat perbuatannya," menurut dokumen mahkamah lagi.

Cik Lau, seorang ibu kepada dua orang anak, dibawa ke hospital bersama penunggang motosikal dan pemandu teksi itu.

Cik Lau meninggal dunia pada hari yang sama. Menurut laporan bedah siasat, kematiannya berpunca daripada kecederaan di bahagian dada.

Ong kemudian menyerah diri pada hari yang sama selepas mendapat panggilan telefon daripada Tan, yang memberitahunya beliau dihubungi pihak polis.

PUNGUT LESEN MEMANDU, NRIC DEKAT KELAB

Siasatan menunjukkan bahawa Ong memungut sebuah dompet mengandungi kad pengenalan atau NRIC yang dijumpainya dekat sebuah kelab pada Disember 2015.

Pada Mac 2015, dia meminta Tan untuk menyewa sebuah kereta bagi pihaknya menggunakan NRIC dan lesen memandu tersebut, dari sebuah syarikat sewa dipanggil Rent My Car.

Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya Teo Lu Jia meminta agar Ong dikenakan hukuman penjara antara 13 hingga 15 bulan dan diharamkan daripada memandu selama lapan tahun.

Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan adalah amat serius, sambil menambah Ong "melakukan tindakan secara sengaja" dengan menipu syarikat sewa kereta, memandu tanpa lesen dan lari daripada tempat kejadian.

Beliau menyifatkan kereta terlibat sebagai "senjata berbahaya" di tangan Ong.

Peguam bela Ong, R.S. Wijaya bagaimanapun meminta agar anak guamnya dihantar ke pusat latihan pemulihan.

"Sebagai individu bawah umur berusia 17 tahun, saya tidak berpendapat dia fikir kereta itu boleh menjadi senjata berbahaya," kata Encik Wijaya.

"Saya yakin dia boleh berubah."

Encik Wijaya menambah bahawa Ong, yang sudah menjalani Perkhidmatan Negara selama setahun, "ialah seorang askar cemerlang dan bermotivasi".

Dalam rayuan bela, beliau menambah "tidak ada sangsi bahawa episod tragik ini akan menghantui tertuduh buat selama-lamanya", dan meminta agar "keadilan diringangkan atas belas ihsan".

Hakim Daerah Jasvender Kaur menangguhkan kes hingga minggu hadapan bagi menjatuhkan hukuman dan mengarahkan laporan latihan pemulihan diserahkan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan