Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu bas SBS Transit diserang penumpang tidak pakai pelitup

Seorang pemandu bas SBS Transit diserang oleh seorang penumpang lelaki yang menaiki bas tanpa memakai pelitup di Pasir Ris Drive 6 pada Selasa (15 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu bas SBS Transit diserang penumpang tidak pakai pelitup

Seorang pemandu bas SBS Transit berusia 39 tahun diserang penumpang, (Gambar: Facebook/SBS Transit)

Diterbitkan : 16 Sep 2020 07:07PM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 07:11PM

SINGAPURA: Seorang pemandu bas SBS Transit diserang oleh seorang penumpang lelaki yang menaiki bas tanpa memakai pelitup di Pasir Ris Drive 6 pada Selasa (15 Sep).

Dalam catatan Facebook pada Rabu, SBS Transit menyatakan insiden tersebut berlaku sekitar 2.45 petang dalam bas nombor 21.

"Lelaki tersebut menaiki bas tanpa memakai pelitup dan hanya memakainya selepas itu. Dia kemudian mula melemparkan kata-kata kesat terhadap pemandu bas kami dan ini berlarutan sehingga dua lagi perhentian bas," menurut catatan tersebut.

SBS Transit turut mendedahkan bahawa polis dimaklumkan mengenai insiden itu dan pemandu bas itu berhenti di sebuah ruang bas sementara menunggu ketibaan polis.

Pada waktu itu, lelaki tersebut menarik leher dan kolar pemandu lebih seminit dan enggan melepaskannya meskipun pemandu itu memintanya menghentikan perbuatan itu.

"Pemandu bas kami boleh dilihat menutup mukanya dengan lengannya sedang lelaki itu mula menumbuk muka pemandu itu bertubi-tubi di kepala," dedah SBS Transit.

Pengendali pengangkutan awam itu menyatakan tiga lelaki muda yang berada di perhentian bas itu kemudian bergegas masuk dan menahan lelaki berkenaan sebelum mengheretnya keluar dari bas ke perhentian bas tersebut.

Mereka terus menahannya sebelum dia digari dan dibawa pergi oleh polis.

Polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan sekitar 2.48 petang di Pasir Ris Drive 1 pada hari tersebut.

Seorang pemandu bas berusia 39 tahun berada dalam keadaan sedar semasa dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) dan seorang lelaki berusia 52 tahun kemudian ditangkap kerana memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Polis masih menjalankan siasatan.

SBS menyatakan pemandu bas itu diberi cuti sakit selama tiga hari.

Pihaknya juga menjelaskan insiden tersebut bukanlah satu-satunya kes seumpama itu, sambil menambah sebilangan pemandu bas lain turut diserang sejak beberapa bulan lalu kerana menguatkuasakan pemakaian pelitup.

Bulan lalu, seorang pemandu bas SBS Transit diugut selepas beliau enggan membenarkan seorang lelaki menaiki bas kerana menutup separuh mukanya dengan fabrik jenis kain atau 'neck gaiter' dan bukan pelitup muka.

Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan