Images
  • gravel
    (Gambar fail: Jeremy Long)

Pemandu ambulans yang kongsi gambar amah gantung diri didenda

SINGAPURA: Seorang pemandu ambulans yang mengambil gambar mayat seorang pembantu rumah asing lalu mengirimkannya ke sebuah kumpulan sembang, didenda S$1,500 hari ini (10 Sep).

Shaik Haziq Fahmi Shaik Nasair Johar, 30 tahun, yang dipecat selepas itu, mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Haziq seorang pemandu ambulans kecemasan dengan syarikat Unistrong, yang mendapat kontrak untuk memberikan respons kepada kecemasan-kecemasan perubatan.

Pada 1 Februari 2017, Haziq sedang bertugas di Pondok Bomba Marine Parade apabila pasukannya dikerahkan ke sebuah tempat di mana seorang pembantu rumah ditemui tergantung dari sebuah kipas.

Para anggota pasukannya menjalankan prosedur-prosedur bagi menentukan jika amah tersebut masih bernyawa. Seorang lagi anggota yang turut didakwa, Nurizzah Afiqah Hussain, seorang anggota paramedik ambulans kecemasan Unistrong, mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia.

RAKAN SULUH LAMPU PADA MUKA MAYAT

Haziq dan para anggotanya yang lain seharusnya meninggalkan bilik tersebut selepas itu. Namun, Haziq menggunakan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar-gambar mayat yang tergantung, sementara Nurizzah menyuluh lampu pada wajah amah tersebut.

Mereka kemudian meninggalkan tempat kejadian dan pulang ke ambulans di mana Haziq mengatakan bahawa gambar itu dipetik kerana "ia kali pertama baginya menangani kes mati seumpama itu".

Haziq berniat untuk berkongsi gambar itu dengan anggota-anggota yang bekerja di balai bomba yang sama melalui sebuah kumpulan sembang, kata Timbalan Pendakwa Raya Selene Yap.

Haziq mengirim gambar tersebut kepada kumpulan sembang berkenaan, meskipun sudah menandatangani kontrak bagi melindungi sebarang maklumat penting ketika baru mula bekerja.

Nurizzah, yang juga dalam kumpulan sembang itu, menerima gambar tersebut dan mengirimkannya kepada teman lelakinya, orang ketiga yang turut didakwa, Fazli Hisham Mohd Fairuz Shah, 28.

GAMBAR TULAR DI MEDIA SOSIAL

Fazli mengirimkan gambar itu kepada satu lagi kumpulan sembang, sehinggalah gambar tersebut menjadi tular di Facebook.

Agensi pembantu rumah tersebut mendapat tahu tentang perkara itu lalu memaklumkan majikan amah berkenaan.

Majikan tersebut kemudian membuat aduan polis. Haziq diberkas beberapa hari kemudian.

Di mahkamah hari ini (10 Sep), peguam bela Haziq, Amarick Gill, berkata anak guamnya menyesali perbuatan itu dan sudah diberhentikan daripada pekerjaannya.

"Dia menyedari akan kesilapannya," kata beliau. "Dia menyedari ia sesuatu yang sangat sensitif dan dia seharusnya lebih berhati-hati."

TIDAK BERNIAT TULARKAN GAMBAR

Encik Amarick berkata Haziq mengirimkan gambar-gambar itu kepada rakan-rakan kerjanya dan tidak berniat untuk menyebarkannya di sebarang forum awam.

Cik Yap menjawab bahawa "ia bukan faktor yang kukuh" kerana hakikatnya, gambar itu tersebar secara agak meluas.

Hakim Daerah Marvin Bay mengenakan denda sebanyak S$1,500 sebagaimana diminta pihak pendakwa.

"Tindakan anda menyebarkan gambar seorang pekerja asing yang tergantung melalui kumpulan sembang dan akhirnya tular di media sosial sangat membimbangkan," katanya kepada Haziq. "Anda tidak ditugaskan untuk mengambil gambar pekerja tersebut, itu tugas penyiasat polis. Saya perlu tegaskan bahawa tindakan anda sangat menjejas keluarga mendiang yang sangat berduka."

Atas kesalahannya, Haziq boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$2,000. 

- CNA/AQ/aq

Top