Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelukis mapan Idris Mohamed Ali jadi penerima sulung Hadiah Warisan MHF

Minat Encik Idris Mohamed Ali dalam bidang seni lukis berputik sejak usianya 10 tahun lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Minat Encik Idris Mohamed Ali dalam bidang seni lukis berputik sejak usianya 10 tahun lagi.

Oleh kerana beliau tidak mampu menghadiri kelas-kelas mahupun latihan profesional dalam bidang itu, dia tekun mempelajari sendiri cara-cara melukis dan mewarna melalui buku-buku dan pemerhatian.

Melihat akan potensi individu berbakat itu, Encik Idris diambil menjadi anak didik beberapa seniman terdahulu seperti S. Mahdar, Mas Ali Sabran dan S Mohdir.

(Gambar: Maya Gallery & APAD)

Kini, pada usia 77 tahun, beliau boleh berbangga atas pencapaian yang dikecapinya selama hampir enam dekad menceburi bidang itu.

MENCIPTA NAMA DI SINGAPURA DAN JUGA SERANTAU

Antara pencapaian itu termasuk menganjurkan tiga pameran solo antara 1990 hingga 2017.

Selain terkenal di Singapura kerana teknik lukisan cat airnya, karyanya juga sudah menyerantau dan dinikmati oleh para peminat seni nusantara melalui penglibatannya dalam lebih 80 pameran berkumpulan termasuk di Malaysia dan Indonesia.

Antara koleksi karya Encik Idris boleh ditatapi orang ramai di Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Beliau juga banyak menyumbang kepada warisan negara dengan melukis bandar dan landskap Singapura lama yang penting bagi merakam warisan negara yang unik.

Lukisan-lukisannya juga banyak menghiasi buku kanak-kanak yang pernah memenangi anugerah seperti buku 'The Mango Tree' tulisan Hidayah Amin. Buku itu memenangi anugerah Kanak-kanak Hedwig Anuar pada tahun 2015.

Antara anugerah yang diraih atas bakat lukisannya termasuk anugerah Pingat APAD pada tahun 1974 dan anugerah Cipta Mekar pada tahun 1990.

(Gambar: Facebook/Halimah Yacob)

Hari ini, pelukis cat air mapan itu boleh merakamkan satu lagi pencapaian apabila beliau menjadi penerima sulung Anugerah Hadiah Warisan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Penghargaan tertinggi itu diberikan bagi mengiktiraf penggiat seni seperti beliau yang cemerlang dalam bidang kesenian.

"Penghargaan ini pada saya ialah sungguh bermakna kerana ia satu pengorbanan untuk seni. Perlu kita beri pengiktirafan pada ahli-ahli seni ini kerana mereka bersungguh-sungguh untuk menaikkan taraf seni Melayu kita," kata Encik Idris.

Encik Idris yang masih lagi aktif berkarya hingga ke hari ini sudah mempunyai rancangan bagaimana beliau akan gunakan geran bernilai S$3,500 yang diberikan bersama-sama anugerah tersebut.

"Kemungkinan saya akan buat pameran solo saya lagi. Tempatnya belum tentu lagi. Mungkin tahun hadapan, tahun 2022?" katanya lagi.

Meski akur bahawa pandemik COVID-19 telah menjejas sektor seni dan warisan di Singapura, bagi tokoh seni lukis cat air ini, beliau berharap aktivis seni yang lain dapat terus berjuang.

"Bagi penggiat seni di luar sana tak kiralah dalam bidang apa pun seni lukis, seni nyanyi, seni tari ke apa, harap dapat penggiat seni ini teruslah berkarya sehingga akhir hayat," nasihat Encik Idris.

Anugerah Hadiah Warisan disampaikan Presiden Halimah Yacob selaku tetamu terhormat pelancaran 'Hari Warisan' oleh MHF yang diadakan di auditorium Taman Warisan Melayu, pada Sabtu (13 Nov).

SHAZA ISHAK BANTU NAIKKAN TEATER EKAMATRA

Bagi menggalak golongan belia meneruskan usaha mereka dan menjadi generasi pelapis bagi budayawan dan warisan, satu lagi anugerah baru, Tunas Warisan diberikan kepada penggiat seni teater dan Pengarah Urusan Teater Ekamatra, Nurul Shaza Mohd Ishak, 31 tahun.

Sejak menyertai Teater Ekamatra sejak 10 tahun yang lalu, beliau telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memberi platform kepada seniman bebas yang memerlukan ruang dan wadah untuk berkarya.

Pensyarah adjung dalam bidang Pengurusan Seni di Kolej Seni LASALLE juga gigih merapatkan jurang antara bidang akademik dengan seni melalui penglibatannya dengan Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Oleh kerana beliau baru sahaja pulang ke tanah air daripada menjalani satu program 'fellowship' di Amerika Syarikat dan sedang menjalani notis jangan keluar rumah (SHN), Cik Shaza tidak dapat hadir untuk menerima anugerahnya itu.

Selain itu, Cik Shaza juga menerima geran bernilai S$2,000 untuk meneruskan usaha-usaha kesenian dan meningkatkan lagi pembangunan portfolio beliau.

Penerima kedua-dua anugerah itu dipilih menerusi pencalonan yang diterima dari masyarakat antara April hingga September 2021.

PRESIDEN HALIMAH: HARI WARISAN' TEPAT PADA MASANYA

Acara 'Hari Warisan' turut diserikan lagi dengan kehadiran Presiden Halimah Yacob yang juga melancarkan usaha terbaru MHF.

Dalam ucapannya, Presiden Halimah menyifatkan golongan seniman, budayawan dan warisan sebagai 'nadi penggerak yang telah menghidupkan identiti Singapura sebagai sebuah masyarakat majmuk'.

"Mereka (golongan seni) berperanan sebagai pengamanah dan perantara untuk menyampaikan adat, tradisi dan nilai-nilai murni yang tersemat dalam budaya masyarakat kita dari satu generasi ke generasi seterusnya.

"Saya mengalu-alukan inisiatif baru Hari Warisan sebagai satu acara khas untuk mengiktiraf dan meraikan sumbangan golongan para penggiat seni kita, serta memberi peluang untuk penggiat seni yang lebih muda belajar dari pengalaman golongan para penggiat seni yang lebih mapan," kata Presiden Halimah.

(Gambar: Facebook/Halimah Yacob)

Dengan COVID-19 yang melanda, inisiatif 'Hari Warisan' itu kata beliau bertepatan dengan masanya dan beliau gembira melihat bagaimana golongan tersebut memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk kekal relevan meskipun dibadai pelbagai cabaran.

Naib pengerusi MHF, Dr Azhar Ibrahim berpendapat penggiat seni dan warisan wajar diiktiraf dan disanjungi, bahkan perlu dijadikan sebahagian dalam aspek kehidupan.

"Bukan sahaja soal hadiah atau pengiktirafan, tetapi di mana mereka yang dipanggil pihak berkepentingan itu sama-sama berkumpul, berkampung, saling belajar dan mengetahui bahawa ada sesuatu yang setiap satu boleh sumbangkan.

"Jadi hari seperti ini adalah hari memperingati bahawa warisan itu hari-hari, bukan saja Hari Warisan," kata Dr Azhar, yang juga pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu di NUS.

Menurut beliau, setiap individu ada peranan untuk terus "menghidupkan" warisan kita bersama.

"Warisan yang hidup itu adalah empunya kita semua dan warisan itu bukan sesuatu yang asing. Jati diri kita terpaut dengan warisan dan warisan yang kita perlukan adalah sesuatu warisan yang hidup dan menghidupi kita," tambah Dr Azhar. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan