Images
  • mask (6)
    (Gambar: Facebook/Ho Ching)

Pelitup guna semula baru, cecair basmi kuman diagihkan Yayasan Temasek pada Mac, April

SINGAPURA: Para penduduk di Singapura boleh mendapatkan pelitup muka guna semula dan cecair pembersih tangan bebas alkohol percuma dari Mac hingga April, dalam satu lagi agihan seluruh negara oleh Yayasan Temasek.

Dalam satu catatan Facebook, CEO Yayaysan Temasek Ho Ching berkata bahawa pelitup guna semula itu boleh didapatkan pada 1 Mac. Setiap penduduk Singapura boleh mendapatkan pelitup berwarna biru dari syarikat Swiss Livinguard, yang disediakan oleh Yayasan Temasek, menurutnya dalam satu catatan Jumaat lalu (19 Feb).

"Seperti sebelum ini, kami menyediakannya kepada rakyat Singapura dan penduduk bukan rakyat Singapura, kerana tiada sesiapa selamat sehingga semua orang selamat," kata Cik Ho.

Ini adalah kali keempat pelitup diagihkan oleh Yayasan Temasek ke seluruh negara, dan pengagihan dilakukan untuk tempoh dua minggu.

Antara Jun tahun lalu dengan akhir Januari, sekitar 26 juta pelitup guna semula sudah diagihkan, menurut Temasek dalam satu catatan Facebook pada 28 Jan.

Pelitup baru itu diperbuat dengan dua lapisan - lapisan luar jenis antimikrob kalis air manakala rawatan anti bakteria di lapisan dalaman "membunuh sebarang bakteria daripada air liur kita", kata Cik Ho.

Pelitup itu juga tidak perlu dibasuh setiap hari selepas pemakaian, menurutnya. Sebaliknya, pelitup itu boleh dicuci sekali atau dua kali dalam seminggu. Ia boleh bertahan sehingga 30 cucian, dan boleh digunakan setiap hari untuk sekitar enam hingga tujuh bulan.

Sementara itu, mesin layan diri pelitup di 20 balai rakyat sudah dialihkan ke blok-blok HDB bersebelahan, kerana pusat-pusat itu akan digunakan untuk pemvaksinan nasional COVID-19.

Bekalan di mesin-mesin layan diri itu juga sedang ditambah, menurut Cik Ho lagi.

PENGAGIHAN CECAIR PEMBASMI KUMAN AKAN MULA PERTENGAHAN APRIL

Dalam inisiatif kedua seumpamanya, Yayasan Temasek juga mengagihkan 500 milimeter cecair pembasmi kuman kepada setiap isi rumah mulai pertengahan April.

Cecair pembasmi kuman itu dikeluarkan oleh syarikat tempatan Klenco.

Tidak seperti pengagihan sebelum ini pada April 2020, para penduduk boleh mendapatkan cecair pembasmi kuman itu daripada mesin-mesin layan diri.

Para penduduk akan perlu membawa bil api air Singapore Power (SP) mereka serta botol mereka sendiri bila mengambilnya.

Bil SP bagi Mac dan April - dalam bentuk cetak dan elektronik - akan mengandungi kod QR khas dengan nombor bil SP penduduk.

Bagi memulakan proses pengambilan itu, para penduduk akan perlu mengimbas kod QR di mesin layan diri atau taipkan nombor bil SP mereka di skrin sentuh. Setelah berbuat demikian, satu pelekat botol #BYOB akan dikeluarkan dan para penduduk boleh mendapatkan cecair pembasmi kuman percuma mereka.

Cik Ho berharap ini akan membolehkan setiap isi rumah mengambilnya "dengan mudah, pada bila-bila waktu" di kelab masyarakat terdekat dengan rumah mereka.

Maklumat lanjut akan dberikan bagi kedua-dua pengagihan itu.

- CNA/NA/na

Top