Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelbagai perwajahan Stamford Raffles yang 'kompleks' dirungkai dalam pameran ini

Siapa sebenarnya Sir Stamford Raffles? Apakah beliau seorang penyelamat atau orientalis, talam dua muka? Jawapan kepada soalan-soalan tersebut boleh anda rasakan sendiri di pameran "Raffles di Asia Tenggara: Menimbang Semula Seorang Cendekiawan dan Negarawan", yang akan dibuka 1 Februari nanti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Siapa sebenarnya Sir Stamford Raffles? Apakah beliau seorang penyelamat, negarawan, sarjana atau orientalis, talam dua muka serta manis di bibir pahit di hati?

Jawapan kepada soalan-soalan tersebut boleh anda rasakan sendiri di pameran "Raffles di Asia Tenggara: Menimbang Semula Seorang Cendekiawan dan Negarawan", yang akan dibuka secara rasmi pada 1 Februari nanti.

Pameran tersebut meneroka pelbagai perwajahan Raffles yang "kompleks" dan mengetengahkan naratif yang lebih lengkap tentang diri tokoh 'pengasas Singapura' itu.

BERTINDAK SEBAGAI 'JENDELA' MEMAHAMI DUNIA MELAYU

Alat kebesaran diraja, boneka dan topeng wayang kulit, lukisan sejarah semula jadi serta keris.

Itulah antara 240 artifak pameran yang mempunyai kaitan rapat antara Sir Stamford Raffles dengan Dunia Melayu pada abad ke-19.

Kebanyakannya merupakan objek peribadi milik Raffles yang dikumpulkannya sendiri di Jawa dan Sumatera sewaktu beliau berada di sana.

Pameran itu juga boleh dikatakan berperanan sebagai 'jendela' untuk memahami kerencaman Dunia Melayu sekali gus mengenali watak dan keperibadian Raffles secara menyeluruh.

Secara dominannya, Raffles dikenali ramai sebagai seorang negarawan dan cendekiawan yang membawa pembaharuan, di samping mempunyai hubungan baik dengan kesultanan Melayu.

Contohnya, surat yang dikirimkan oleh Sultan Mahmud Ri'ayat Shah kepada beliau pada 1811 memberikan sokongan kapal perang askar British untuk ekspedisi mereka ke Jawa.

Prof Dr John Miksic (Gambar: Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid)

"Raffles memang pada umumnya sangat senang dengan orang Melayu. Jelas, dia fasih bahasa Melayu. Dia cepat sekali menjadi penterjemah untuk pemerintah Inggeris di Asia Tenggara.

"Dari surat-surat yang ditukar (surat menyurat) dengan para bangsawan dan orang-orang lain di wilayah Singapura, Riau, Sumatera, ternyata juga senang berbicara langsung dengan dia tidak punya penterjemah," kongsi Prof Dr John Miksic seorang sarjana arkeologi & sejarah terkemuka dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

MEMAHAMI RAFFLES DARI DUA MUKA BERBEZA

Namun lebih daripada itu, Prof Miksic menarik perhatian bahawa Raffles sebenarnya seorang individu kompleks yang perlu diteliti menerusi "dua muka" berbeza.

Walaupun perspektif dominan dalam rakaman sejarah mengisahkan Raffles sebagai seorang sarjana atau negarawan, seorang lagi sarjana sejarah Asia Tenggara, Dr Farish Noor menyatakan bahawa rakaman sejarah membuktikan Raffles mempunyai sisi dan nuansa berbeza terhadap masyarakat Muslim Jawa.

Contohnya, sikap anti-Islam dan prejudis Raffles terhadap masyarakat Jawa setelah beliau mendapati mereka bertukar sistem fikiran dan nilai mereka selepas kedatangan Islam.

“Raffles mempunyai sentimen anti-Islam yang agak jelas dalam tulisan-tulisannya, beliau menganggap Islam sebagai satu faktor yang negatif dan ini mencerminkan prejudis beliau sendiri terhadap orang Muslim tapi khususnya orang Arab,” tekan Dr Farish.

Perasaan tidak berasas terhadap kaum Arab pada zaman tersebut menurut Dr Farish berpunca dari persaingan antara Syarikat Hindia Timur Inggeris (East India Company atau EIC) dengan pedagang-pedagang Arab yang sangat aktif dan mahir dalam bidang perniagaan.

Faktor ini, menurut Dr Farish lagi, penting untuk difahami mengikut konteks dalam mengetahui sebab di sebalik sikap prejudis Raffles terhadap sesuatu bangsa.

Menurut Dr Farish, faktor sikap dan peranan Raffles yang prejudis itu dibentuk oleh EIC yang diwakilinya yang memperjuangkan agenda patriotik serta mengutamakan agenda empayar Inggeris.

“Jadi kalau kita nak katakan Raffles itu mempunyai agenda rasis, perkauman, bukan Raffles yang melahirkan idea rasisme itu. Itu datang daripada syarikatnya kerana syarikat yang menghantarnya ke Asia Tenggara itu merupakan syarikat yang agak berbeza dengan syarikat-syarikat yang kita kenali zaman ini.

“EIC mempunyai satu keupayaan ketenteraan, tentera laut dan tentera daratnya yang sangat-sangat agresif, bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi di China, tempat-tempat lain di seluruh Asia,” kongsi Dr Farish lagi.

Maka itu jugalah tidak banyak artifak yang dikumpulkan Raffles mempunyai unsur-unsur masyarakat Islam.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid)

(Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid/BERITAmediacorp)

Ini dapat dilihat sendiri daripada koleksi peribadinya yang hanya mengumpulkan dua lukisan batu nisan Islam milik Maulana Malik Ibrahim, daripada 2,000 objek lain yang dimilikinya semasa beliau berada di Jawa.

PETA JAWA MILIK RAFFLES ANTARA BAHAN PAMERAN

Seorang pengumpul artifak yang tekun, Dr Farish Noor sendiri menjadi antara penyumbang kepada pameran tersebut. Beliau meminjamkan sebuah peta Pulau Jawa yang dibuat oleh John Walker - seorang pembuat peta terkenal pada zaman tersebut.

Peta tersebut antara lain terkandung banyak maklumat tentang lembah-lembah, sungai-sungai dan bahan-bahan mineral yang terkandung di bumi Jawa.

"Ada hubung kaitnya dengan kuasa. Kita tidak dapat buat peta sekiranya kita tidak menguasai rantau itu. Jadi kuasa itu datang dahulu, jadi setelah merampas pulau Jawa dan memperluaskan lagi kekuasaan Inggeris, barulah peta itu dapat dibuat.

"Jadi peta itu bagi saya bukanlah satu dokumen geografi. Tapi satu dokumen politik yang mencerminkan tahap kekuasaan dan kuasa tentera Inggeris." jelas Dr Farish secara terperinci.

Muzium Tamadun Asia menyatakan, menerusi pameran itu, para pengunjung akan dapat menilai Raffles dari banyak sudut.

Ini kali pertama, 240 artifak itu - yang dikumpulkan daripada koleksi 14 institusi dan pengumpul peribadi - disatukan bagi satu pameran.

Pameran itu akan berlangsung dari 1 Februari hingga 28 April ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan