Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelbagai langkah diambil ibu bapa demi pastikan laluan anak duduki PSLE tidak terganggu

Dengan lebih banyak kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak sejak pertengahan bulan ini, para ibu bapa terutama sekali dengan anak yang bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga tambahan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan lebih banyak kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak sejak pertengahan bulan ini, para ibu bapa terutama sekali dengan anak yang bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga tambahan.

Ini demi memastikan perjalanan si anak menduduki PSLE tidak terganggu.

Bagi murid Darjah 6 bernama Muhd Ilhan Haziq Muhd Shanurizal misalnya, sebaik sahaja tamat kelas, dia akan mengurangkan interaksi dengan rakan-rakannya selepas sekolah. Dia sebaliknya terus pulang ke rumah.

Setibanya di rumah pula, Ilhan perlu menggunakan cecair pembasmi kuman dan segera mandi.

Itulah antara langkah berjaga-jaga yang ditetapkan ibunya Cik Shahin Kamaluddin demi melindungi keselamatan anaknya daripada COVID-19.

Semua ini lebih genting lagi kerana minggu depan Ilhan bakal menduduki PSLE dan Cik Shahin serta suaminya enggan persiapannya terganggu.

"Hingga kini sejujurnya kita jarang makan kat luar walaupun kita satu keluarga dah divaksinasi sepenuhnya.

"Jadi itu langkah waspada tambahan yang kami ambil kerana kita pun faham dekat luar risikonya adalah lebih tinggi," kongsi
Cik Shahin.

BERHENTI TERIMA TETAMU DATANG RUMAH

Perangkaan Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan, sejak tiga hari lalu, kes COVID-19 bagi kanak-kanak 11 tahun ke bawah terus mencatat angka rekod dan mencecah 95 kes semalam (24 Sep). Bilangannya adalah 86 kes pada 23 Sep dan 85 kes pada 22 Sep.

Maka itu jugalah, keluarga empat beranak itu lebih kerap melakukan Ujian Antigen Pantas (ART) di rumah selain berhenti menerima tetamu kecuali keluarga terdekat.

Yang pasti, banyak pengorbanan dibuat keluarga ini yang sudah "beberapa bulan" tidak keluar sekeluarga demi maslahat Ilhan.

Si anak yang sedar akan pentingnya menjaga kesihatan menjelang PSLE, berkata: "Jika saya mahu ambil PSLE, akan sangat berisiko jika saya tidak ambil peraturan tersebut dengan serius.

"Kalau dekat luar, saya berhenti bergaul."

Meskipun mengaku berasa "rimas" kerana terlalu banyak duduk di rumah, Cik Shahin menambah beliau sekeluarga mengambil peluang itu untuk mempereratkan hubungan keluarga.

"Kita gunakan masa untuk diisi dengan aktiviti dekat rumah. Kita main Scrabble dan kita sekeluarga kita suka main Mobile Legends.

"Jadi inilah perkara-perkara kecil yang kita lakukan untuk isi masa anak-anak dan untuk habiskan masa sebagai keluarga," kata Cik Shahin, yang juga seorang penjawat awam.

TERPAKSA LAKUKAN KUARANTIN KENDIRI

Cabaran semasa COVID-19 sekarang ini memang datang satu persatu. Baru minggu lalu mereka sekeluarga turut melakukan kuarantin kendiri selama seminggu selepas rakan tuisyen Ilhan diuji positif.

Ilhan hanya dibenarkan kembali ke sekolah pada 22 Sep sebagai langkah waspada.

Namun seperti keluarga PSLE lain Cik Shahin tiba-tiba berdepan satu lagi cabaran. Iaitu pembelajaran dari rumah (HBL) bagi murid Darjah 6 tiba-tiba bermula sedangkan PSLE tinggal berapa hari sahaja.

Selain melakukan lebih banyak ulang kaji di rumah, murid-murid Darjah 6 juga perlu menjalani kelas melalui Zoom menjelang PSLE.

Dengan kertas pertama PSLE bermula Khamis depan (30 Sep), terdetik rasa risau di hati kanak-kanak ini.

"Saya rasa macam bimbang. Saya sangat harap saya dapat ke sekolah untuk dapat faham dan tanya guru di sekolah apa yang saya tak faham," kata pelajar Sekolah Rendah Tampines North itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan