Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelbagai agensi tahu tentang "perbuatan menyimpang" seorang penduduk Toa Payoh

Cat pada temboknya terkopek-kopek sehingga jelas kelihatan batu bata dan simen. Lantainya juga rosak dan tidak rata.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelbagai agensi tahu tentang "perbuatan menyimpang" seorang penduduk Toa Payoh

Koridor di Blok 55 Toa Payoh Lorong 5 yang sudah rosak. (Gambar: Fann Sim)

Diterbitkan : 08 Jan 2018 08:49AM Dikemas Kini : 08 Jan 2018 08:56AM

SINGAPURA: Pelbagai agensi menyedari tentang "perbuatan menyimpang dari kebiasaan" seorang penduduk di Blok 55 Toa Payoh Lorong 5 dan sedang bekerjasama untuk "membantu menangani perkara itu".

Demikian menurut Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh semalam (7 Jan).

Gambar-gambar kerosakan yang dikatakan dilakukan oleh seorang wanita dalam lingkungan 60an tahun, pada satu koridor di blok tersebut tersebar di media sosial.

Semasa Mediacorp mengunjungi blok itu, cat pada temboknya terkopek-kopek sehingga jelas kelihatan batu bata dan simen. Lantainya juga rosak dan tidak rata.

Salah seorang penduduk, Cik Lau Yoong Kin, berkata jirannya mencampak garam dan abu pada pintu rumah dan tingkapnya. Beliau juga mengadu tentang sikap jirannya yang kerap menjerit-jerit.

Dalam satu kenyataan, majlis bandaran tersebut menyatakan agensi-agensi yang terlibat termasuk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Jawatankuasa Penduduk (RC), pertubuhan kebajikan sukarela, Sudut Jagaan dan polis kejiranan.

Para pemimpin akar umbi sudahpun mengunjungi flat itu sebelum ini, menurut majlis bandaran, dan mendapati penduduk berkenaan menetap bersama suaminya. Beliau menggunakan garam, cuka dan serbuk penaik untuk menyental tembok dan lantai bagi "menghalau makhluk ghaib". Beliau juga akan mencampakkan abu.

Majlis bandaran menambah "matlamat penting usaha kerjasama itu" adalah untuk "memberi bantuan kepada pasangan berkenaan, khususnya mendapatkan bantuan pakar bagi isterinya".

"Bagaimanapun, beliau berdegil dan menolak bantuan yang dihulurkan, meskipun berkali-kali mencuba," menurut majlis bandaran lagi.

"Polis sedang memantau sama ada terdapat sebab kukuh untuk memaksa beliau mendapatkan bantuan pakar, tetapi menurut penilaian buat masa ini beliau tidak membahayakan dirinya mahupun jiran tetangga."

Kerja-kerja pembaikan pernah dijalankan dan walaupun amaran sudah dikeluarkan, penduduk itu tetap meneruskan perbuatannya, menurut majlis bandaran.

Ia menambah pasangan tersebut sudah menetap di blok itu selama sekitar 10 tahun dan memindahkan mereka "tidak akan menyelesaikan masalah asas".

"Tidak adil bagi suaminya (jika kami) setakat memindahkan masalah tersebut ke lokasi lain dan (jika kami) melakukan demikian ia mungkin memburukkan lagi keadaan isterinya," tambah kenyataan itu lagi.

"Walau bagaimanapun, urusan bagi perumahan alternatif sedang dirancang sekiranya perbuatan penduduk tidak berubah meskipun setelah menjalani rawatan."

Majlis bandaran memberi jaminan kepada para penduduk lain bahawa pihak berkuasa sudah menimbangkan keselamatan mereka dalam menangani isu itu.

Ia juga melahirkan harapan agar pelbagai pihak yang bekerjasama menangani perkara itu "dapat mencapai huraian yang memuaskan".

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan