Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelawak Alias Kadir jalani pembedahan kudungkan sebelah lagi kakinya

Pelawak terkenal Alias Kadir yang sering menghiburkan dan membuatkan orang lain ketawa, sedang melalui antara dugaan hebat hidupnya. Ini apabila lagi sebelah kakinya terpaksa dikudungkan dalam satu pembedahan beberapa hari lalu kerana tidak dapat diselamatkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelawak Alias Kadir jalani pembedahan kudungkan sebelah lagi kakinya

Pelawak terkenal Alias Kadir jalani pembedahan kudungkan sebelah lagi kakinya. (Gambar: An-nisa Rahim/Facebook)

SINGAPURA: Pelawak terkenal Alias Kadir yang sering menghiburkan dan membuatkan orang lain ketawa, sedang melalui antara dugaan hebat hidupnya. Ini apabila lagi sebelah kakinya terpaksa dikudungkan dalam satu pembedahan beberapa hari lalu kerana tidak dapat diselamatkan.

Ini bermakna kedua-dua kakinya sudah dikudungkan kerana kaki kirinya sebelum ini terpaksa dikudungkan pada Ogos 2017 akibat kencing manis.

Dalam pembedahan terkini ke atas kaki kanannya pula, kami dimaklumkan bahawa jangkitan ke atas kaki tersebut sudah merebak ke bahagian atas lutut dan perlu dikudungkan.

Pelawak veteran itu baru dipindahkan dari unit jagaan rapi (ICU) kepada wad biasa dua hari lalu di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Bercakap kepada BERITAmediacorp, seorang lagi pelawak veteran, Husin Saaban, berkongsi bahawa keadaan Alias masih lagi lemah meski sudahpun dipindahkan ke wad biasa. Alias juga dikatakan masih sukar untuk berbual kerana lemah dan pernafasannya lemah.

Menurut sumber-sumber, sebenarnya sudah hampir sebulan pelawak dan pelakon komedi berusia 58 tahun itu dirawat di NUH dan sudah dua kali beliau dimasukkan ke dalam ICU dalam tempoh itu.

RAKAN ARTIS KONGSI PERASAAN DAN HARAPAN MEREKA UNTUK ALIAS KADIR

"Saya yang tengok keadaannya, saya dapat merasa kesedihan dan keperitan yang dialaminya, apa lagi buatnya yang sedang menanggung kesakitan itu sendiri," kata Husin Saaban yang baru sahaja melawat Alias Kadir di hospital hari ini (15 Jun).

Beliau berharap orang ramai dapat menghargai jasa Alias Kadir "selagi masih bernyawa" kerana beliau sudah banyak menyumbang kepada masyarakat melalui seninya.

Pelawak Hamzah Adon juga turut berkongsi kepada BERITAmediacorp mengenai perkembangan terkini Alias Kadir selepas melawatnya di NUH semalam (14 Jun).

Beliau yang sudah menganggap Alias Kadir seperti abangnya sendiri seolah-olah "tidak percaya" melihat keadaan kesihatannya dan terlalu sedih sehingga "tidak boleh tahan menangis". Selalunya, Alias Kadir boleh bergurau jika dikunjungi. Tapi bukan semalam, kata Hamzah. Dia lemah.

Menurut Hamzah, Alias walaupun lemah masih dapat mengenalinya dan menyebut namanya tiga kali. Beliau juga dapat bersalam tangan dengan Alias dan melihat bahawa "lengan dia dua-dua merah" pasca pembedahan tersebut.

"Saya minta doa dari rakan-rakan (lain)," kongsi Hamzah Adon membuat rayuan bagi pihak rakannya itu.

Artis tempatan Khairudin Samsudin juga turut berharap agar "permata dan lagenda seni" di Singapura ini akan "kembali pulih seperti sediakala", manakala penyanyi Nana Karia menerusi Facebook meminta "semoga doa kita secara majmuk dapat meringankan sakit Abg Alias... dan semoga semua urusan kesihatannya dipermudahkan".

Alias Kadir yang nama sebenarnya ialah Mohd Osman Ahmad, baru-baru ini melakonkan watak sebagai Rahmat dalam musim ke-empat Bubur Masjid Air Katira yang ditayangkan pada bulan Ramadan tahun ini.

Setelah banyak berjasa dan menghiburkan orang ramai, kini mungkin tiba masanya untuk orang ramai pula berbuat sesuatu bagi Alias Kadir.

Husin Saaban mendedahkan bahawa beliau dan pihak Jamiyah sedang merancang sesuatu untuk membantu Alias Kadir dan beliau sangat mengharapkan "sokongan orang ramai" nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan