Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelantikan Zaqy selaku Menteri Negara: 'Tugas berat' kata beliau

Pelantikan Encik Zaqy Mohamad adalah yang paling menonjol di kalangan para Anggota Parlimen Melayu dalam rombakan Kabinet kali ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelantikan Encik Zaqy Mohamad adalah yang paling menonjol di kalangan para Anggota Parlimen Melayu dalam rombakan Kabinet kali ini.

Ini kerana daripada seorang AP biasa, beliau terus melonjak menjadi Menteri Negara - malah memegang dua portfolio sekali gus, iaitu di Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Semasa ditemui pihak BERITAMediacorp, Encik Zaqy menyifatkan kedua-dua pelantikan itu sebagai tugas yang berat namun berharap untuk belajar dari menteri-menteri yang lebih berpengalaman.

Peranan lebih besar dalam kepimpinan negara itu muncul selepas 12 tahun Encik Zaqy menjadi Anggota Parlimen.

Menerusi peluang ini beliau berharap pelibatannya dalam sektor swasta dapat memberi perspektif yang berlainan terhadap dasar dan isu-isu yang berkaitan dengan MND dan MOM.

AMANAH MEMBINA NEGARA LEBIH KUKUH

Beliau kini bertugas sebagai Rakan Kongsi di syarikat terkemuka Ernst & Young dan akan melepaskan jawatan tersebut untuk menyertai Kabinet.

"Alhamdulillah, memang saya rasa ini suatu amanah yang diberikan untuk membina negara yang lebih kukuh dan juga membantu masyarakat," kata Encik Zaqy.

"Bagi saya, memang saya lihat lebih banyak lagi cabaran yang akan datang bagi Singapura dan rakyat kita. Misalnya, dari segi dasar pembangunan dan dasar tenaga manusia dan sebagainya. Kita melihat cabaran gangguan dan sebagainya yang boleh melanda rakyat kita," tambah beliau kepada BERITAMediacorp dalam satu wawancara sejurus selepas pengumuman rombakan Kabinet itu.

BERI TUMPUAN KEPADA USAHA MENINGKATKAN KEMAHIRAN DALAM PELBAGAI SEKTOR

Pemerintah, kata AP GRC Choa Chu Kang itu, sedang menggalakkan peningkatan daya penghasilan dan kemahiran. Oleh itu, Encik Zaqy menarik perhatian, sebagai Menteri Negara di MOM misalnya, beliau mahu memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti peningkatan kemahiran dan daya penghasilan pekerja.

Ayah tiga anak itu juga berharap dapat memainkan peranan dalam transformasi industri, khususnya dari segi tenaga manusia serta (kemajuan) dalam sektor pembinaan.

"Saya rasa ini memang penting supaya kami dapat meningkatkan lagi daya pengeluaran pekerja kita. Saya juga berharap dengan peningkatan daya pengeluaran, peningkatan kemahiran ini, mereka juga dapat meningkatkan lagi pendapatan keluarga mereka," kata Encik Zaqy.

Encik Zaqy yang berusia 44 tahun, juga melahirkan harapan untuk bekerjasama lebih erat dengan anggota dan institusi-institusi masyarakat dalam jawatan barunya nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan