Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelanggaran dikesan pada 95% pemeriksaan di tempat kerja sejak Dis 2020

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berjaya mengesan pelanggaran di lebih daripada 95 peratus tempat kerja yang diperiksanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelanggaran dikesan pada 95% pemeriksaan di tempat kerja sejak Dis 2020

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Mar 2021 04:26PM Dikemas Kini : 03 Mar 2021 04:27PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berjaya mengesan pelanggaran di lebih daripada 95 peratus tempat kerja yang diperiksanya.

Sejak pertengahan Disember lalu, MOM menjalankan 510 pemeriksaan. Sebanyak 486 pelanggaran terbongkar dan kementerian itu mengeluarkan tujuh arahan berhenti kerja, menurut Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad dalam ucapannya semasa Parlimen membahaskan peruntukan bagi kementeriannya pada Rabu (3 Mac).

Dua arahan berhenti kerja turut dikeluarkan sejak November lalu oleh Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) dan persatuan-persatuan industri untuk memperbaiki protokol keselamatan, dedah Encik Zaqy.

Arahan berhenti kerja turut melibatkan semakan yang dijalankan ke atas kegiatan-kegiatan binaan dan protokol keselamatan. Ini termasuk menguji kestabilan struktur dan memeriksa mesin, pemasangan elektrik dan penyimpanan bahan dan sebarang bahan kimia yang berbahaya.

"MOM sangat prihatin terhadap peningkatan pada jumlah kemalangan di tempat kerja baru-baru ini. MOM sedang menyiasat setiap insiden yang dilaporkan," kata Encik Zaqy.

"Kami akur bahawa syarikat-syarikat sedang berdepan kekangan tenaga kerja disebabkan oleh langkah-langkah kawalan sempadan dan pembendungan pandemik. Sungguhpun demikian, syarikat-syarikat tidak boleh mengkompromikan keselamatan pekerja mereka dengan terburu-buru mengarahkan para pekerja mereka untuk mengendalikan mesin atau melakukan tugas yang tidak dilatih secukupnya," katanya lagi.

Merujuk kepada letupan yang berlaku di Tuas pada 24 Feb, Encik Zaqy berkata para pegawai "sangat prihatin" terhadap kejadian itu dan ia adalah salah satu kemalangan yang paling dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Para inspektor MOM sudah memeriksa hampir 500 syarikat yang mungkin berdepan dengan habuk yang mudah terbakar, kata Encik Zaqy.

MOM akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan untuk mengkaji penyebabnya dan menyarankan langkah-langkah pencegahan, yang mungkin termasuk dasar-dasar baru.

Mengenai keselamatan di tapak binaan, Encik Zaqy berkata MOM akan mengeluarkan kerangka yang menekankan prestasi keselamatan untuk tender binaan sektor awam pada lewat tahun ini supaya syarikat-syarikat yang menitikberatkan keselamatan akan mempunyai akses yang lebih baik kepada peluang-peluang perniagaan. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan