Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelanggan tidak bersihkan meja di pusat makanan, kedai kopi akan didenda mulai 1 Jan

Pelanggan di pusat makanan dan kedai kopi yang tidak membersihkan meja mereka akan didenda mulai 1 Januari 2022, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (30 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pelanggan tidak bersihkan meja di pusat makanan, kedai kopi akan didenda mulai 1 Jan

Pelanggan di pusat makanan di People's Park Centre. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 30 Aug 2021 08:28PM Dikemas Kini : 30 Aug 2021 08:29PM

SINGAPURA: Pelanggan di pusat makanan dan kedai kopi yang tidak membersihkan meja mereka akan didenda mulai 1 Januari 2022, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (30 Ogos).

Pendekatan penguatkuasaan di tempat-tempat makan tersebut serupa dengan penguatkuasaan bagi perbuatan membuang sampah atas meja di pusat penjaja. Demikian menurut agensi itu dalam kenyataan medianya.

Penguatkuasaan di pusat penjaja, yang diumumkan pada Mei, akan bermula pada Rabu (1 Sep). Pesalah kali pertama akan menerima amaran bertulis dan pesalah kali kedua pula akan dikenakan denda komposisi S$300. Pesalah berulang mungkin menghadapi denda mahkamah.

Penguatkuasaan bagi pembuangan sampah di atas meja pusat makanan dan kedai kopi akan bermula selepas tempoh makluman dua bulan dari 1 November hingga 31 Disember.

Serupa dengan penguatkuasaan di pusat penjaja, tiada tindakan akan diambil terhadap pelanggan yang gagal untuk membersihkan meja mereka sepanjang tempoh makluman itu.

“Sewaktu tempoh makluman, duta dan pegawai jarak selamat dari Agensi Makanan Singapura (SFA) dikerahkan ke kedai kopi dan pusat makanan untuk terus mengingatkan para pengendali agar memastikan pelanggan mereka memulangkan dulang kotor dan pinggan mangkuk mereka serta membersihkan sampah mereka," menurut NEA dalam satu kenyataan media.

“Isyarat visual seperti poster dan kain rentang akan dipasang secara bertahap-tahap di premis-premis ini untuk mengingatkan pelanggan supaya membersihkan meja mereka.

“Walaupun tiada penguatkuasaan akan diambil semasa tempoh ini, pelanggan diingatkan supaya mematuhi arahan sekiranya dinasihatkan."

NEA menyatakan pusat makanan dan kedai kopi sedang dalam proses untuk memasang kemudahan bagi pemulangan dulang serta pinggan mangkuk.

Para pengendali boleh memohon bagi pembiayaan bersama sebanyak 50 peratus bagi pemasangan kemudahan itu, dihadkan kepada S$2,500 untuk setiap premis, melalui Skim Sokong Meja Bersih.

PENGUATKUASAAN DI PUSAT PENJAJA

Penguatkuasaan bagi pembuangan sampah di pusat penjaja akan bermula pada Rabu menyusuli tempoh makluman selama tiga bulan. Sepanjang tempoh tersebut, pegawai NEA, pengendali pusat penjaja dan relawan dikerahkan untuk mengingatkan pelanggan supaya memulangkan dulang serta pinggan mangkuk mereka selain membersihkan sampah di meja seperti kertas tisu, plastik bungkusan, bekas air atau sisa makanan.

NEA menyatakan respons di lapangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini menggalakkan.

“Dari kadar pemulangan dulang dan pinggang mangkuk purata sekitar 30 peratus pada Februari tahun ini apabila Kempen Meja Bersih dilancarkan, kadar pemulangan dulang dan pinggan mangkuk purata bertambah baik kepada kira-kira 65 peratus," menurut NEA.

Pegawai penguat kuasa akan terus menasihatkan pelanggan supaya membersihkan meja mereka mulai Rabu, bagaimanapun, tindakan akan diambil terhadap mereka yang enggan mematuhi arahan pegawai.

“Penguatkuasaan tidak akan diambil terhadap mereka yang dengan jelas tidak boleh memulangkan dulang mereka seperti orang tua yang uzur dan kanak-kanak kecil yang tidak boleh membeli serta mengangkat makanan mereka sendiri ke meja," tambah NEA.

Untuk memudahkan pelanggan memulangkan dulang serta pinggang mangkuk, NEA akan memperkenalkan troli dan memasang 150 rak tambahan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan