Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelanggan pusat penjaja yang tinggalkan pinggan-mangkuk kotor di meja boleh didenda mulai 1 Sep

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan mengambil tindakan ke atas pelanggan di pusat penjaja yang meninggalkan dulang, pinggan mangkuk dan sampah di atas meja mulai 1 Sep, umum agensi tersebut pada Jumaat (14 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelanggan pusat penjaja yang tinggalkan pinggan-mangkuk kotor di meja boleh didenda mulai 1 Sep

Dulang-dulang di Pusat Penjaja Jurong West.

Diterbitkan : 14 May 2021 08:37PM Dikemas Kini : 14 May 2021 08:41PM

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan mengambil tindakan ke atas pelanggan di pusat penjaja yang meninggalkan dulang, pinggan mangkuk dan sampah di atas meja mulai 1 Sep, umum agensi tersebut pada Jumaat (14 Mei).

Pesalah kali pertama akan menerima amaran bertulis. Pesalah kali kedua akan didenda S$300, sementara pesalah berulang mungkin menghadapi denda mahkamah, kata NEA.

Bagi membantu pelanggan membiasakan diri dengan langkah-langkah baru itu, mereka diberi tempoh penyesuaian sepanjang tiga bulan dari 1 Jun hingga 31 Ogos dengan pesalah diberi nasihat.

Duta jarak selamat, duta SG Clean dan relawan masyarakat serta pegawai NEA akan mengingatkan pelanggan supaya membersihkan meja masing-masing. Tanda visual seperti poster dan sepanduk akan diletakkan sebagai peringatan, kata NEA.

Agensi tersebut juga sedang menyediakan lebih banyak kemudahan mengembalikan dulang di semua pusat penjaja bagi membantu pelanggan.

PENGUATKUASAAN MULAI SEPTEMBER

Mulai 1 Sep, pegawai penguatkuasa akan terus menasihatkan pelanggan untuk mengemas meja mereka. Tindakan akan diambil jika pelanggan tidak mematuhi nasihat tersebut.

Agensi Makanan Singapura (SFA) turut bekerjasama dengan NEA untuk melaksanakan penguatkuasaan secara beransur-ansur di kedai kopi dan pusat makanan pada suku keempat tahun ini.

NEA tidak akan menggubal undang-undang baru bagi penguatkuasaan tersebut kerana meninggalkan sampah di meja makan sudah disenaraikan sebagai kesalahan membuang sampah sembarangan di bawah Akta Kesihatan Sekitaran Awam, menurut agensi tersebut.

"NEA, bagaimanapun, akan mengambil pendekatan yang pragmatik, seperti mengambil tindakan ke atas pelanggan yang tidak mematuhi nasihat pegawai penguatkuasa untuk mengemas dulang, pinggan mangkuk, dan sampah selepas makan," tambah NEA.

Mediacorp telah cuba mendapatkan komen NEA tentang bagaimana langkah lebih ketat membendung penularan COVID-19 yang diumumkan pada Jumaat akan menjejas makluman dan tindakan penguatkuasaan, memandangkan orang ramai tidak dibenarkan makan di tempat-tempat makan mulai Ahad hingga 13 Jun.

KEPRIHATINAN KESIHATAN AWAM, USAHA PENDIDIKAN SEBELUM INI

Langkah meningkatkan tindakan penguatkuasaan itu didorong oleh hasil yang kurang memuaskan selepas kempen-kempen pendidikan awam mengenainya sebelum ini, termasuk pelancaran Kempen Meja Bersih pada Februari, kata NEA.

Mengemas meja selepas makan "menunjukkan sikap bertimbang rasa untuk pengguna yang seterusnya, dan memberi pekerja pembersihan peluang untuk menumpukan perhatian kepada tugas yang lebih penting iaitu membersih dan membasmi kuman", tambah agensi tersebut.

Pendekatan itu juga cara yang lebih mampan dalam memastikan tempat-tempat makan terus selamat dan bersih, kata NEA.

"Ini lebih-lebih lagi memandangkan tenaga pekerja pembersihan sebilangan besarnya adalah warga senja yang lebih mudah dijangkiti penyakit seperti COVID-19."

Menurut NEA pandemik COVID-19 menekankan perlunya semua lapisan masyarakat mengekalkan tahap kebersihan awam yang tinggi.

"Orang ramai dan pelbagai institusi, seperti Majlis Kebersihan Awam, telah meminta langkah-langkah lebih berkesan termasuk undang-undang untuk meningkatkan tahap kebersihan meja di tempat-tempat makan awam," kata NEA.

Kadar purata pemulangan dulang dan pinggan mangkuk mencatat "kenaikan kecil" sebanyak 2 peratus kepada 35 peratus selepas Kempen Meja Bersih dilancarkan.

Ini meskipun 76 peratus daripada responden satu tinjauan yang dijalankan NEA pada bulan Mac menjawab bahawa mereka sering kali memulangkan dulang dan pinggan mangkuk selepas makan.

"Ini menunjukkan apa yang dipraktikkan tidak selaras dengan kelakuan yang disokong individu," kata agensi tersebut.

"Memandangkan kemajuan yang kecil sejauh ini walaupun banyak usaha pendidikan dan pendekatan telah dijalankan, makluman yang dipertingkat dan penguatkuasaan akan membantu memperbaiki tahap kebersihan awam di pusat-pusat makanan awam, terutama sekali semasa pandemik COVID-19," kata NEA.

Sumber : CNA/IH/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan