Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan Induk Sifar Sisa tertumpu kepada sisa elektronik, bungkusan dan makanan

Singapura akan meneliti dan menyemak semula putaran pengurusan sisa bagi tiga jenis sisa utama, iaitu sisa makanan, sisa bungkusan dan sisa elektronik di bawah Pelan Induk Sifar Sisa, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan Induk Sifar Sisa tertumpu kepada sisa elektronik, bungkusan dan makanan

Sebuah tong biru kitar semula yang diletakkan di estet perumahan HDB. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Diterbitkan : 03 Feb 2019 04:01PM Dikemas Kini : 03 Feb 2019 04:06PM

SINGAPURA: Singapura akan meneliti dan menyemak semula putaran pengurusan sisa bagi tiga jenis sisa utama, iaitu sisa makanan, sisa bungkusan dan sisa elektronik di bawah Pelan Induk Sifar Sisa, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) menamakan tahun 2019 sebagai Tahun Menuju Ke Arah Sifar Sisa bagi Singapura. Ini menerusi satu kempen yang bermatlamat meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai isu-isu sisa dan pentingnya untuk menjimatkan sumber.

Kadar kitar semula bagi keluarga-keluarga di Singapura - iaitu pada kadar 21 peratus - adalah lebih rendah berbanding negara-negara maju lain seperti Jerman dan Korea Selatan.

Meskipun rakyat Singapura mengamalkan tabiat kitar semula yang lebih baik, namun masih ramai daripada mereka yang tidak melakukannya dengan betul. Encik Masagos berkata demikian semasa satu wawancara bersama stesen radio Mediacorp, 938NOW, pada Jumaat (1 Feb).

Tong-tong biru kitar semula yang diletakkan di flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) "semakin dialu-alukan di kebanyakan estet". Namun sebilangan penduduk masih menggunakan tong-tong tersebut sebagai tong sampah biasa, kata Encik Masagos.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), sekitar 40 peratus daripada sampah yang dikumpul daripada tong-tong berkenaan tercemar.

Sungguhpun demikian, Encik Masagos berkata lebih ramai penduduk kini semakin mengetahui mengenai tabiat mengitar semula yang betul. Mereka juga sudahpun mula menggunakan tong-tong biru itu dengan betul.

TIDAK LAGI GUNAKAN BOTOL PLASTIK SEKALI GUNA?

Menteri Masagos juga mengambil langkah luar biasa bagi menggalak para penduduk kawasan undi Tampines West untuk mengamalkan tabiat sifar sisa. Botol-botol sekali guna sahaja kini diharamkan di Kelab Masyarakat (CC) itu.

"Saya berasa mengapa kita harus menggunakan PET atau botol-botol plastik sekali guna. Kita seharusnya melaburkan dalam botol-botol air plastik guna semula dan sebaliknya, mengisi botol-botol itu dengan air paip.

"Itulah salah satu aspek sifar sisa yang digalakkan di kawasan undi saya sendiri, di mana kami sudahpun melarang sama sekali penggunaan botol PET di CC. Kami haruslah menyesuaikan diri dengan langkah ini," katanya.

SISA ELEKTRONIK

Sisa elektronik atau e-sisa adalah salah satu jenis sisa yang menjadi keprihatinan Encik Masagos, disebabkan oleh ciri-ciri toksiknya.

Bagi membantu Singapura memenuhi matlamat sifar sisa, S$45 juta sudahpun dilaburkan ke dalam usaha menghasilkan teknologi bijak serta kajian dan pengembangan (R&D).

Encik Masagos berkata salah satu contoh adalah untuk mencari kegunaan lain bagi abu dari loji pembakaran sampah (IBA). Abu itu biasanya dibuang di kawasan pelupusan sampah Pulau Semakau.

"Kami sedang menimbangkan kemungkinan untuk memanfaatkan R&D dan teknologi bagi mengasingkan logam toksik dari IBA.

"Jika kami dapat melakukannya dengan berkesan, kami boleh mencampurkan IBA dengan bahan-bahan binaan dan menggunakannya untuk membina jalan-jalan raya," katanya.

Encik Masagos menambah sekiranya usaha ini berjaya dilaksanakan dan membuahkan hasil, agensi air negara PUB tidak perlu bimbang mengenai sama ada logam-logam toksik akan menjejas sistem air Singapura jika IBA digunakan semula.

"Ia semuanya adalah sebahagian daripada rangka kerja ekologi. Pelan Induk Sifar Sisa yang bakal dilaksanakan akan mengambil kira kesan dan faedah-faedah sisa yang dirawat terhadap ekologi kami," katanya. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan