Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar VJC positif COVID-19 terkait kelompok Lapangan Terbang Changi

Seorang penuntut Maktab Rendah Victoria (VJC) berusia 18 tahun yang disahkan positif COVID-19 minggu lalu kini dikaitkan dengan kelompok COVID-19 Lapangan Terbang Changi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar VJC positif COVID-19 terkait kelompok Lapangan Terbang Changi

Maktab Rendah Victoria (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 12 May 2021 08:59AM Dikemas Kini : 12 May 2021 09:03AM

SINGAPURA: Seorang penuntut Maktab Rendah Victoria (VJC) berusia 18 tahun yang disahkan positif COVID-19 minggu lalu kini dikaitkan dengan kelompok COVID-19 Lapangan Terbang Changi.

Pelajar itu - yang dikenali sebagai Kes 62941 - melanggani Kopitiam di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada hari yang sama dengan dua kes lain, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (11 Mei).

"Siasatan epidemiologi kami mendapati bahawa Kes 62941 dikaitkan dengan kelompok Kes 62873," menurut MOH.

"Dia mungkin terjangkit ketika berada di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi 3 pada 3 Mei."

PELAJAR KUNJUNGI RAFFLES MEDICAL DAN KOPITIAM DI TERMINAL 3

MOH mendedahkan bahawa pelajar tersebut mengunjungi Raffles Medical di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 23 dan 30 April dan 3 Mei. Dia juga melanggani Kopitiam pada 3 Mei.

Pusat makanan itu dikunjungi pada 3 Mei oleh dua kes lain dalam kelompok Lapangan Terbang Changi. Mereka adalah: Kes 62942, penyelaras keselamatan yang bekerja di Terminal 3 dan juga Kes 62945, pegawai penerbangan yang bertugas di Terminal 1 dan 3.

Kes-kes 62942 dan 62945 diuji positif COVID-19 pada 7 Mei. Kes 62945 sudah divaksin sepenuhnya.

Besmen 2 Terminal 3 - di mana terletaknya Kopitiam - ditutup buat sementara waktu sejak Isnin selepas beberapa kes COVID-19 mengunjungi gerai-gerai di sana, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.

Kini terdapat 18 kes yang dikaitkan dengan kelompok Lapangan Terbang Changi, termasuk pelajar VJC.

Kes 62873, seorang pekerja pembersihan lapangan terbang berusia 88 tahun yang disahkan positif pada 5 Mei, adalah kes pertama yang dilaporkan dalam kelompok itu.

Pada Selasa, tujuh daripada 13 kes baru dalam masyarakat dikaitkan dengan kelompok Lapangan Terbang Changi. Terdapat juga 12 kes import.

Pelajar VJC itu kali terakhir pergi ke maktabnya pada 5 Mei. Dia mengalami gejala seperti selesema selepas bersekolah pada hari itu dan demam pada 6 Mei.

Dia pergi ke klinik biasa pada 6 Mei di mana dia diuji bagi COVID-19. Hasil ujiannya disahkan positif pada keesokan harinya.

Seramai 95 pelajar dan lapan kakitangan yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pelajar tersebut sudah dikuarantin.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga mengumumkan bahawa pihaknya akan menguji sekitar 2,200 pelajar, kakitangan, penyedia khidmat dan pelawat sebagai langkah berjaga-jaga.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan