Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar seru NUS dipertanggungjawabkan atas salah laku seksual di kampus

Para pelajar Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pada Khamis (25 Apr) menyeru agar pihak sekolah dipertanggungjawabkan atas kes-kes salah laku seksual yang berlaku di kampusnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar seru NUS dipertanggungjawabkan atas salah laku seksual di kampus

Gambar fail NUS.

Diterbitkan : 25 Apr 2019 11:05PM Dikemas Kini : 25 Apr 2019 11:12PM

SINGAPURA: Para pelajar Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pada Khamis (25 Apr) menyeru agar pihak sekolah dipertanggungjawabkan atas kes-kes salah laku seksual yang berlaku di kampusnya.

Mereka bercakap di satu dialog awam yang dianjurkan untuk mengumpul maklum balas dan mengetengahkan keprihatinan tentang kes-kes sedemikian serta membincangkan bagaimana pihak universiti dapat memperkukuh lagi rangka kerja disiplin dan sokongannya.

Sesi tersebut dihadiri Naib Provos (Ehwal Pelajar) Florence Ling dan Dekan Pelajar Peter Pang.

Lebih 500 pelajar menghadiri dialog awam tersebut, yang diadakan di sebuah dewan auditorium dan disiarkan langsung ke sebuah dewan lain kerana jumlah besar pelajar yang hadir.

Beberapa peserta mengkritik cara NUS menangani kes-kes salah laku seksual, dengan ada yang menyifatkan pendekatan sekolah itu sebagai "menyalahkan mangsa".

Dialog itu dianjurkan selepas seorang pelajar NUS, Monica Baey menyeru menerusi wadah media sosial minggu lalu agar tindakan keras diambil terhadap seorang pelajar yang merakamnya mandi di hostel.

Menyusuli kejadian pada November tahun lalu, pelaku itu diberi amaran bersyarat 12 bulan oleh pihak polis, digantung dari universiti selama satu penggal dan diharamkan memasuki semua premis asrama di kampus. Pelajar itu juga diarahkan untuk menghadiri sesi kaunseling, menjalani khidmat masyarakat selama 30 jam dan menulis surat memohon maaf.

Para pelajar yang bertanya bagaimana mereka boleh mempertanggungjawabkan NUS dialihkan kepada jawatankuasa penilaian semula yang ditubuhkan oleh NUS.

Beberapa pelajar lain turut menceritakan tentang gangguan seksual yang mereka alami di kampus. Mereka menuduh NUS mahu menyembunyikan kes-kes tersebut. Salah seorang daripada mereka menangis semasa berkongsi ceritanya.

Cik Baey, yang turut menghadiri dialog itu dan berkongsi maklum balasnya di atas pentas, berkata terdapat kekurangan sokongan untuk mangsa serta sistem komunikasi kurang baik di pihak NUS. Beliau berkata beliau dibiarkan bersendirian untuk bercakap dengan seorang pegawai lelaki tentang pengalamannya.

Prof Ling meminta maaf kepada Cik Baey dan majlis pelajar.

"Saya boleh merasakan bahawa kami telah menghampakan anda, dan saya sangat menyesal," katanya. Beliau menambah bahawa NUS akan menubuhkan sebuah unit untuk memberi sokongan kepada mangsa, dan mereka akan meningkatkan bengkel-bengkel pendidikan.

Dalam merumuskan sesi itu, Profesor Madya Pang berkata beliau mendapat iktibar daripadanya: "Sokongan kami untuk mangsa tidak mencukupi."

Beliau menegaskan bahawa sistem penjagaan mangsa berpusat akan ditubuhkan dan keselamatan akan diperkukuhkan di asrama.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan