Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar S'pura mungkin golongan pertama di bawah aturan perjalanan khas, kata PM Australia

Pelajar dari Singapura mungkin diberi keutamaan untuk melakukan perjalanan ke Australia untuk melanjutkan atau menamatkan pengajian mereka apabila prasarana bagi perjalanan udara selamat dilaksanakan, kata Perdana Menteri Australia Scott Morrison pada Khamis (10 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar S'pura mungkin golongan pertama di bawah aturan perjalanan khas, kata PM Australia

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 10 Jun 2021 11:02PM Dikemas Kini : 10 Jun 2021 11:09PM

SINGAPURA: Pelajar dari Singapura mungkin diberi keutamaan untuk melakukan perjalanan ke Australia untuk melanjutkan atau menamatkan pengajian mereka apabila prasarana bagi perjalanan udara selamat dilaksanakan, kata Perdana Menteri Australia Scott Morrison pada Khamis (10 Jun).

Bercakap semasa sidang media bersama dengan Encik Morrison selepas pertemuan empat mata, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata kedua-dua mereka membincangkan bagaimana perjalanan dua hala antara Singapura dan Australia dapat disambung semula dalam cara yang selamat dan pertimbangan penuh berhati-hati "apabila kedua-dua belah pihak sudah bersedia".

Ini dijelaskan Encik Lee dan PM Morrison, pada Khamis (10 Jun).

Menurut Encik Lee, ia dapat dijalankan "secara kecil-kecilan" dengan aturan khas perjalanan udara "apabila sudah bersedia", kata Encik Lee dalam kenyataannya, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook.

“Kita perlu menyiapkan prasarana dan proses untuk bersiap sedia melakukan ini. Ia bermula dengan mengesahkan sijil kesihatan dan vaksinasi, mungkin dalam bentuk digital. Apabila semua persiapan sudah disediakan, barulah kita boleh memulakannya secara kecil-kecilan dengan aturan khas perjalanan udara bagi membangun keyakinan kedua-dua belah pihak,” tambahnya.

Masih ada lagi masa sebelum Singapura dan Australia "mencapai tahap itu", tetapi kedua-dua negara akan "meneruskan usaha" untuk menyediakan sistem bagi membolehkan n aturan perjalanan seperti itu laksanakan antara Singapura dengan Australia, sama seperti yang wujud antara Australia dengan New Zealand, kata Encik Morrison.

"Tetapi selain itu ... memberi keutamaan kepada pelajar dari Singapura untuk boleh kembali ke Australia untuk menyelesaikan pengajian mereka dan terlibat dalam pembelajaran mereka," tambahnya.

Pertemuan tersebut adalah Mesyuarat Pemimpin Singapura-Australia yang keenam. Kali terakhir Encik Lee dan Encik Morrison mengadakan pertemuan adalah pada Mac tahun lalu melalui sidang video ekoran pandemik COVID-19.

Lawatan Encik Morrison ke Singapura ini adalah lawatan rasmi pertama oleh seorang pemimpin asing sejak bermulanya pandemik ini.

"KEPERLUAN MENDESAK" BAGI PELAJAR

Menjawab soalan selepas kenyataan kedua-dua perdana menteri, Encik Morrison berkata Singapura adalah negara pertama di luar New Zealand di mana Australia ingin mengadakan aturan khas perjalanan.

Menambah bahawa sistem sijil vaksinasi digital Australia baru saja dilancarkan, beliau berkata: "Dan kami boleh laksanakannya dengan baik di Singapura, yang kami tahu dapat kami lakukan, kerana sistem yang sangat canggih yang dimiliki Singapura."

"Dengan dorongan daripada Perdana Menteri Lee, kami benar-benar ingin menumpukan perhatian pada pelajar yang datang ... sebagai sebahagian daripada ujian rintis bagaimana sistem ini boleh berfungsi dengan paling berkesan ketika kita sampai ke fasa berikutnya ... tetapi waktu itu masih jauh."

Terdapat "jumlah agak besar" pelajar dari Singapura yang belajar di Australia dan sebilangannya pulang kerana pandemik COVID-19, kata Encik Lee.

Pelajar-pelajar ini tidak dapat kembali ke Australia untuk menyambung pelajaran mereka, dan "ada keperluan mendesak untuk mereka berbuat demikian", tambahnya.

"Terutama bagi mereka yang ada latihan klinikal atau latihan kerja, dan tidak dapat melakukannya, ini sangat mengganggu pengajian mereka."

Encik Lee berkata beliau juga menyarankan kepada Encik Morrison agar pelajar ini dapat menjadi salah satu cara untuk menguji sistem perjalanan yang selamat dan "melaksanakan ujian rintis agar kita dapat memperluas projek ini", dan kemudian melaksanakan aturan khas perjalanan penuh antara Singapura dengan Australia.

"Tidak ada jadual waktu, tapi kami harap ini dapat dilakukan secepat mungkin."

SYARAT ATURAN KHAS PERJALANAN

Kadar vaksinasi dan kadar penularan COVID-19 akan diambil kira ketika melaksanakan aturan khas perjalanan, kata Encik Lee semasa sidang media itu.

"Apa yang ingin kami lakukan adalah menyiapkan prasarana prasyarat, pengiktirafan vaksin, apa piawaiannya, apa syaratnya. Maka keputusan sebenar untuk melakukannya, itu adalah keputusan politik. Tetapi mari kita sediakan semuanya, agar kita berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan politik itu ketika kita ingin melakukannya,” tambah Encik Lee.

Baik Singapura mahupun Australia belum mengenal pasti penanda aras kadar vaksinasi yang akan mempengaruhi keputusan mengenai aturan perjalanan udara, kata Encik Morrison, sambil menambah bahawa ini akan bergantung pada nasihat masyarakat pakar perubatan.

KERJASAMA PERTAHANAN DAN FINTECH

Mengenai bidang kerjasama lain antara Singapura dengan Australia, Encik Lee berkata bahawa perjanjian dua hala mengenai latihan ketenteraan dan pembangunan kawasan latihan dan mula berkuat kuasa pada Disember 2020.

"Ini merupakan pencapaian penting dalam kerjasama pertahanan kita sejak sekian lama," tambahnya.

"Singapura sangat menghargai sokongan Australia yang murah hati dan berterusan untuk latihan SAF. Selama bertahun-tahun, di banyak pangkalan udara dan kem di seluruh Australia."

Perjanjian ekonomi digital dua hala juga berkuatkuasa pada 2020, kata Encik Lee.

"Ini adalah hasil sikap kita yang berpandangan jauh, terbuka dan progresif terhadap perdagangan dan ekonomi masa depan," tambahnya.

Berdasarkan perjanjian itu, kedua-dua pemimpin tersebut akan memulakan perbincangan bagi membangun hubungan fintech antara kedua-dua negara, kata Encik Lee dalam ucapan perasmiannya.

Singapura dan Australia juga sedang meneroka kerjasama bagi huraian terhadao pengeluaran karbon yang rendah untuk menyokong usaha perubahan iklim, kata Mr Lee.

"Ini adalah satu lagi keutamaan domestik utama bagi kami berdua, dan ia merangkumi perkongsian awam-privet mengenai bahan bakar dan teknologi pelepasan rendah bagi operasi perkapalan dan pelabuhan, yang berpusat di Makmal Eco Universiti Teknologi Nanyang.

"Kita juga sedang meneroka kerjasama yang lebih luas mengenai perjanjian ekonomi hijau. Ini akan memudahkan perdagangan dan pelaburan dalam barang dan perkhidmatan yang mampan, serta memperkukuh tadbir urus sekitaran dan keupayaan kita untuk menangani perubahan iklim. "

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan