Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar politeknik Muhammad Razeef harungi segalanya untuk kini raih Sarjana Muda SMU

Seorang lagi lulusan anak Melayu/Islam dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) tahun ini, yang turut berkongsi kisah inspirasinya bersama BERITAmediacorp ialah Muhammad Razeef Mohd Yatim Marican.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar politeknik Muhammad Razeef harungi segalanya untuk kini raih Sarjana Muda SMU

Muhammad Razeef Mohd Yatim Marican tekad tidak jadikan latar sosioekonominya sebagai halangan mengecapi kejayaan.

SINGAPURA: Seorang lagi lulusan anak Melayu/Islam dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) tahun ini, yang turut berkongsi kisah inspirasinya bersama BERITAmediacorp ialah Muhammad Razeef Mohd Yatim Marican.

Razeef, 26 tahun, meraih ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Operasi). Baru sahaja tamat pengajian, beliau sudah mendapat tiga tawaran pekerjaan!

Perjalanannya tidak kalah mencabar - beliau berusaha untuk hidup berdikari kerana tidak ingin membebani bapanya yang merupakan pencari nafkah tunggal keluarga enam beranak. Ini meskipun, perbelanjaan sekolah bukanlah murah.

"Saya memberi kelas tuisyen dan menjadi seorang penolong guru di sekolah. Saya ingin menanggung perbelanjaan saya sendiri - dari perbelanjaan untuk sekolah, makanan, bil telefon. Saya juga ingin bantu sara kehidupan keluarga. Ibu waktu itu terpaksa menjaga arwah nenek yang sakit," cerita Razeef.

Setiap minggu, Razeef memberi kelas tuisyen sekurang-kurangnya dua kali. Setiap Sabtu pula, beliau menjadi mentor kepada para belia di bawah satu program MENDAKI.

MENANG PELBAGAI ANUGERAH

Mengimbangi masa sememangnya sesuatu yang sukar baginya. Tetapi Razeef perlu memastikan pencapaian akademiknya tidak terjejas agar beliau layak mendapat biasiswa. Pelbagai anugerah dijulang sepanjang menuntut di SMU – termasuk Anugerah Usaha Profesor Tan Teck Meng, Anugerah Juara Masyarakat Pilot Pen dan Pelatih (intern) Cemerlang Ruth Chiang.

"Saya tidak menjadikan semua komitmen saya sebagai satu halangan. Justeru, ia mendorong saya untuk tamat pengajian."

Razeef akur, beliau pada awalnya sukar untuk menyesuaikan diri kepada pembelajaran universiti selepas dua tahun tidak belajar kerana perlu menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Namun, yang membantunya pula adalah pengalamannya semasa di politeknik. Sebelum memasuki SMU, Razeef lulus dari Politeknik Temasek dalam bidang Pengurusan Logistik dan Operasi.

"Saya suka pendekatan SMU kerana ia menitikberatkan pelibatan aktif dalam kelas yang dikendalikan seperti seminar. Para pelajar diajak bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea,” jelas Razeef.

Pemuda itu turut diberi peluang mewakili SMU dan Singapura sebagai Utusan Belia bagi Program Pertukaran Pelajar ASEAN-India, Program Pertukaran Pemimpin Muda Singapura-Indonesia dan Sidang Pelajar Jepun-ASEAN.

BAPA JADI PERAN CONTOH: "...DIA SELALU ADA UNTUK KELUARGA"

Ditanya pula siapa yang menjadi peran contoh baginya, Razeef berkata: “Ia kedengaran klise tetapi ayah saya adalah ‘role model’ saya. Dia seorang yang sangat bertanggungjawab walaupun berdepan dengan masalah kewangan. Kadang dia lambat bayar bil misalnya tetapi dia akan tetap pastikan dia membayar bil.

"Dan walaupun sibuk, dia pastikan dia selalu ada untuk keluarga… termasuk membantu menghantar nenek ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.”

Bapa Razeef juga bekerja dalam bidang operasi di sebuah syarikat swasta.

Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi… meskipun dari latar sosioekonomi seperti itu, Razeef suka menabur bakti. Beliau menjadi mentor kepada para belia di bawah program MENDAKI sejak 2012. Beliau juga melakukan kerja-kerja sukarelawan sejauh China dan Kemboja.

Yayasan MENDAKI turut mengiktiraf sumbangan Razeef dengan dua anugerah iaitu Anugerah Emas Sukarelawan dan Anugerah Sukarelawan Paling Bersemangat.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan