Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar Politeknik menyamar sebagai wanita tawar khidmat seks

Seorang pelajar politeknik hari ini (28 Jan) mengaku bersalah atas lima dakwaan menipu beberapa orang lelaki dengan menyamar sebagai wanita dan pekerja seks. 12 lagi dakwaan serupa dipertimbangkan sebelum hukuman diputuskan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar Politeknik menyamar sebagai wanita tawar khidmat seks

Gambar fail Mahkamah Negara.

Diterbitkan : 28 Jan 2019 05:31PM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 05:35PM

SINGAPURA: Seorang pelajar politeknik hari ini (28 Jan) mengaku bersalah atas lima dakwaan menipu beberapa orang lelaki dengan menyamar sebagai wanita dan pekerja seks. 12 lagi dakwaan serupa dipertimbangkan sebelum hukuman diputuskan.

Lee Chao Hunt, 19 tahun, terbaca satu amaran di sebuah laman pengiklanan Locanto.com pada 2016 yang menasihati para pengguna supaya berwaspada terhadap para penipu yang kononnya menawarkan khidmat seks dan menjual video lucah. Pelajar politeknik Temasek itu mempunyai akaun di laman tersebut kerana ingin mencari pasangan.

Selepas membaca amaran itu, Lee memutuskan untuk melakukan penipuan serupa dan membuka dua akaun Locanto dengan menggunakan nama pengguna 'jessss98' dan 'Liyiingxxxx' pada Disember 2016.

Dia menggunakan akaun-akaun tersebut untuk memasang iklan "mencari teman dengan ganjaran" yang boleh menjangkakan bayaran.

Lebih 10 lelaki menjawab iklan-iklannya. Lee yang menyamar sebagai seorang wanita kemudian berhubung dengan mereka menerusi aplikasi WeChat.

Dia memberitahu para mangsa bahawa dia akan mengirimkan video-video lucah "dirinya" melakukan seks dan ada kalanya berjanji akan bertemu dengan para mangsa untuk melakukan hubungan seks.

Menerusi janji-janji itu dia memperdayakan mereka untuk memindahkan antara S$150 hingga S$200 seorang ke dalam akaun banknya.

Mereka mengikut arahan Lee dan memindahkan wang kepadanya, sebelum mengirimkan gambar-gambar menerusi WeChat sebagai bukti bahawa wang sudah dipindahkan.

Melalui cara ini, Lee mengumpul S$3,200 daripada 16 lelaki antara Jun 2017 dengan Nov 2017.

Selepas menerima wang itu, Lee tidak lagi melayan mereka dan memadamkan perbualan-perbualan WeChat itu di telefonnya.

Polis mula menyiasat Lee selepas salah seorang mangsa membuat laporan. Akaun banknya dibekukan pada 1 Dis 2017.

Lee cuba menghapuskan bukti dalam telefonnya selepas menyedari dia tidak boleh mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Dia kemudian mengaku membelanjakan wang hasil penipuan itu untuk membeli rokok, alkohol, pakaian serta berseronok di kelab-kelab malam, menurut dokumen mahkamah.

Dia memulangkan wang itu kepada 16 lelaki pada Nov tahun lalu dan mengaku sengaja menipu mereka kerana "ingin mengalami gaya hidup ini tetapi tidak mampu", kata Timbalan Pendakwa Raya Michelle Tay.

Hakim Daerah May Mesenas meminta laporan kesesuaian probesyen dan menangguhkan penjatuhan hukuman kepada bulan depan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan