Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar dikuarantin, amaran risiko kesihatan masih boleh ambil PSLE, peperiksaan nasional: MOE

Kementerian Pendidikan (MOE) menyiapkan aturan khas bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan nasional akhir tahun dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Sep 2021 03:56PM Dikemas Kini : 26 Sep 2021 10:47PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) menyiapkan aturan khas bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan nasional akhir tahun dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang.

Pelajar yang sedang menjalani perintah kuarantin atau menerima amaran risiko kesihatan dibenarkan menduduki peperiksaan nasional akhir tahun jika mereka disahkan negatif COVID-19, menurut MOE dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Ahad (26 Sep), dalam satu kenyataan media bersama.

Aturan bagi pelajar di bawah perintah kuarantin - satu perubahan berbanding langkah-langkah pada tahun lalu - dibuat menyusuli kes COVID-19 yang meningkat.

Satu set prosedur diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) bagi pelajar yang dikenakan kuarantin namun berada dalam keadaan sihat, untuk memohon bagi pelepasan daripada kuarantin untuk menduduki peperiksaan mereka, menurut MOE dan SEAB.

"Walaupun pertimbangan khas akan diberikan kepada kes yang mempunyai alasan munasabah, kami akur bahawa masih ada kes di mana calon masih ingin diberi peluang untuk menduduki peperiksaan nasional akhir tahun mereka," menurut kenyataan media itu.

Pilihan itu akan ditawarkan kepada semua calon peperiksaan nasional pada tahun ini, bermula dengan peperiksaan PSLE pada 30 September dan peperiksaan peringkat GCE 'N(A)'/'N(T)', 'O' dan 'A' selepas itu.

Mereka harus diuji negatif bagi ujian swab tindak balas rantaian polimerase (PCR) di permulaan arahan kuarantin. Mereka juga perlu menunjukkan keputusan negatif menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) sebelum menduduki peperiksaan.

Aturan itu bagaimanapun tidak termasuk peperiksaan praktikal sains, yang mana calon mungkin perlu berkongsi peralatan makmal atau bergerak di dalam makmal serta peperiksaan dengan aktiviti yang memerlukan pelajar menanggalkan pelitup seperti peperiksaan muzik yang memerlukan calon meniup alat muzik atau menyanyi.

Bilik yang digunakan bagi calon dikuarantin harus diasingkan daripada pelajar lain dan dibersihkan secara menyeluruh selepas peperiksaan.

Pelajar juga perlu mematuhi langkah-langkah berikut:

- Ambil peperiksaan dalam bilik darjah atau dewan berasingan daripada pelajar lain

- Duduk pada jarak tiga meter dalam susunan tempat duduk mengikut bilik peperiksaan

- Elakkan daripada bergaul dengan calon-calon lain kerana pintu masuk dan keluar khusus serta tandas akan disediakan

- Peperiksaan bermula 30 minit selepas pelajar yang lain

- Waktu dan tempat melaporkan diri akan diasingkan bagi calon yang dikenakan arahan kuarantin

MOE menyatakan butiran lanjut tentang keperluan itu alkan dikongsi dengan calon "dalam masa terdekat", termasuk prosedur permohonan.

Pada Ogos 2021, MOH dan SEAB mengumumkan bahawa pelajar yang diberikan cuti ketidakhadiran boleh menduduki peperiksaan akhir tahun jika mereka diuji negatif bagi COVID-19 secara kerap.

Sebelum ini pelajar yang dikenakan arahan kuarantin tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir tahun.

Pelajar yang positif COVID-19 atau menjalani notis jalan keluar rumahmasih tidak dibenarkan mendududki peperiksaan.

ATURAN BAGI CALON DIKENAKAN AMARAN RISIKO KESIHATAN, KETIDAKHADIRAN DILULUSKAN

MOE dan SEAB menambah aturan juga dikemas kini bagi calon yang diberi kelulusan ketidakhadiran kerana perlu menjalani rejim ujian wajib MOH atau menerima amaran risiko kesihatan.

Selain daripada perlu disahkan negatif dalam ujian PCR wajib pemerintah, calon juga mesti melakukan ujian swab secara kerap menggunakan kit kendiri ART dan maklumkan pihak sekolah tentang keputusan ujian itu sebelum menduduki peperiksaan. Ini harus dilakukan sehingga tempoh kelulusan ketidakhadiran itu ditarik balik.

Aturan sedia ada dan langkah pengurusan selamat bagi peperiksaan nasional akhir tahun yang diumumkan pada Ogos lalu akan terus dilaksanakan, menurut MOE dan SEAB.

Berikut adalah ringkasan kemas kini aturan bagi peperiksaan nasional akhir tahun 2021 mulai 30 September:

PERTIMBANGAN KHAS

Dalam kenyataannya, MOE dan SEAB menyatakan pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan atas sebab-sebab wajar boleh memohon bagi pertimbangan khas.

"Pertimbangan khas adalah prosedur ditetapkan yang memberi calon gred unjuran melalui metodologi adil dan menyeluruh berdasarkan bukti," menurut kedua-dua agensi itu.

"Dalam memberikan gred kepada calon yang terjejas, SEAB akan mempertimbangkan pelbagai sumber data, seperti prestasi calon dalam kertas-kertas peperiksaan lain bagi subjek terjejas itu dalam peperiksaan nasional dan peperiksaan di sekolah serta prestasi kohort sekolah itu dalam peperiksaan nasional dan peringkat sekolah, bagi memastikan penilaian adil bagi semua calon.

"Semua permohonan pertimbangan khas akan dinilai berdasarkan merit setiap calon, untuk memastikan bahawa gred diberikan secara tepat dan adil sebaik mungkin."

Bagi calon yang tidak dapat mengambil semua kertas peperiksaan sama sekali, keputusan peperiksaan 'prelim' mereka akan diambil kira dalam menentukan ranking pelajar dalam kohort sekolah yang sama.

Bagi calon yang terlepas satu atau lebih kertas peperiksaan bagi satu-satu subjek, SEAB akan menggunakan prestasi calon itu dalam kertas peperiksaan yang diambil sebelumnya untuk memperoleh gred unjuran.

Prestasi pelajar berkenaan dalam peperiksaan prelim juga akan diambil kira.

Pelajar boleh memohon bagi pertimbangan khas melalui sekolah masing-masing manakala calon privet boleh menghubungi SEAB.

MOE dan SEAB akan terus memantau situasi COVID-19 dan memberi kemas kini.

"Kami menggesa semua calon dan kakitangan supaya terus mengamalkan kebersihan diri yang baik, mematuhi langkah pengurusan selamat dan menjalankan tanggungjawab sosial.

"Pelajar juga tidak harus datang ke sekolah dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika mereka berasa kurang sihat." 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan