Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerjaan mungkin terjejas jika ekonomi S’pura, sektor perkhidmatan terus melemah

Pekerjaan-pekerjaan di Singapura mungkin terjejas sedang ekonomi negara semakin melemah dan meninggalkan kesan terhadap sektor perkhidmatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerjaan mungkin terjejas jika ekonomi S’pura, sektor perkhidmatan terus melemah

Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 14 Aug 2019 08:18AM Dikemas Kini : 14 Aug 2019 08:26AM

SINGAPURA: Pekerjaan-pekerjaan di Singapura mungkin terjejas sedang ekonomi negara semakin melemah dan meninggalkan kesan terhadap sektor perkhidmatan. Ini menurut beberapa pakar ekonomi semasa mengulas mengenai data ekonomi dan perdagangan yang hambar, yang diumumkan pada Selasa (13 Ogos).

Encik Brian Tan, seorang pakar ekonomi serantau dari bank pelaburan Barclays, memberitahu Mediacorp bahawa pertumbuhan lebih perlahan daripada yang dijangkakan bagi sektor perkhidmatan adalah satu petunjuk "yang tidak dapat dipersoalkan" bahawa ekonomi Singapura semakin melemah.

Secara keseluruhannya, eksport domestik bukan minyak (NODX) bagi tahun ini diramal menguncup antara 8 hingga 9 peratus, selepas merosot 14.6 peratus dari April hingga Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut agensi perdagangan Enterprise Singapore.

Pada masa yang masa, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini buat dua suku berturut-turut, kepada antara sifar hingga 1 peratus berbanding unjuran antara 1.5 hingga 2.5 peratus sebelum ini.

Setiausaha Tetap MTI Gabriel Lim berkata ramalan pertumbuhan yang lebih lemah itu sebahagiannya disebabkan oleh ketegangan perdagangan yang kian memuncak antara Amerika Syarikat dengan China, serta kegawatan ekonomi yang dialami China dan negara-negara Zon Euro.

(Gambar fail: TODAY) 

Ekonomi negara tumbuh 0.1 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menulis di laman Facebooknya pada Selasa (13 Ogos), Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata Pemerintah "akan terus memantau keadaan dengan teliti kerana setiap putaran ekonomi adalah berbeza dan kita mesti melaksanakan langkah-langkah yang betul bagi menyokong syarikat-syarikat perusahaan dan para pekerja kita dengan lebih berkesan lagi."

Encik Chan menambah: "Kita mesti bersiap sedia mengharungi cabaran-cabaran masa hadapan tetapi kita juga tidak seharusnya bersikap terlalu pesimis... Kita sebelum ini berjaya mengatasi kitaran-kitaran ekonomi dengan terus bersatu dan membina asas-asas dan kali ini, tidak terkecuali."

Dalam wawancaranya bersama para wartawan Malaysia pada bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata Pemerintah sudah bersedia untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu perniagaan-perniagaan dan para pekerja jika ekonomi global menjadi bertambah buruk.

KELEMAHAN DALAM PASARAN BURUH

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menarik perhatian bahawa kadar pengangguran dan pemberhentian pekerja tetap rendah. Para pakar ekonomi yang ditemui Mediacorp bersetuju bahawa pasaran buruh masih belum menunjukkan sebarang tekanan.

Sungguhpun demikian, keadaan mungkin berbeza jika ekonomi negara semakin melemah dalam tempoh beberapa suku akan datang.

(Gambar: Reuters)

Ini terutama sekali jika sektor perkhidmatan - yang membentuk sekitar dua pertiga daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dan pengambilan pekerja - terus menjadi perlahan, kata pakar ekonomi kanan DBS Bank, Irvin Seah.

Encik Seah juga berkata para penggubal dasar perlu sentiasa bersikap berwaspada dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang mungkin menghadapi kesulitan untuk mengurangkan risiko pemberhentian pekerja.

Para pakar lain bagaimanapun lebih bersikap positif, sambil melahirkan harapan agar sektor perkhidmatan dapat mengekalkan momentumnya sekarang dan terus memacu ekonomi serta pasaran buruh Singapura.

SEMAKAN DASAR KEWANGAN

Meskipun terdapat khabar angin bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mungkin akan melaksanakan semakan yang tidak dijadualkan berhubung dasar-dasar kewangan negara, para pakar ekonomi yang ditemui Mediacorp tidak terkejut sekiranya bank pusat itu tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan mesyuarat itu, selain mesyuarat yang dijadualkan dua kali dalam setahun.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengarah Urusan Dasar-Dasar Ekonomi, Edward Robinson, semasa taklimat media MTI pada Selasa (13 Ogos).

Para pakar ekonomi menerangkan bahawa Singapura belum lagi berisiko mengalami kemelesetan meskipun data ekonomi yang dikeluarkan semalam (13 Ogos) suram.

SEKTOR PENGILANGAN BANTUTKAN PERTUMBUHAN

Sementara itu, sektor pengilangan bagi suku kedua tahun ini terus menguncup berbanding suku sebelumnya.

Ia merupakan sektor utama yang merangsang ekonomi Singapura dua tahun lalu. Bagaimanapun, para pakar ekonomi tidak terkejut ia kini sektor utama yang menjejas ekonomi negara.

Sebuah pelabuhan Singapura. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Kelompok-kelompok elektronik dan kejuruteraan jitu merupakan punca utama yang menyumbang kepada kemerosotan sektor pengilangan.

Ia disebabkan oleh permintaan yang lemah bagi eksport elektronik dari pasaran-pasaran luar negara.

Eksport elektronik menjunam 26.9 peratus pada suku kedua berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala eksport bukan elektronik pula merosot 10.5 peratus.

Para pakar ekonomi berkata perangkaan bagi eksport domestik bukan minyak meranapkan sebarang harapan yang ekonomi negara akan bangkit semula pada separuh kedua tahun ini.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan