Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja SBS Transit dipenjara, dilarang memandu setelah langgar lelaki yang kemudian mati

Seorang penolong pengurus stesen bersama SBS Transit dipenjara tiga minggu dan diharamkan daripada memanda selama lima tahun pada Selasa (25 Feb) kerana melanggar seorang pejalan kaki yang kemudiannya meninggal dunia di hospital. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja SBS Transit dipenjara, dilarang memandu setelah langgar lelaki yang kemudian mati

Petikan gambar dari Google Street View yang menunjukkan tempat meletak kereta terbuka bersebelahan Decathlon di Stadium Boulevard.

Diterbitkan : 25 Feb 2020 01:35PM Dikemas Kini : 25 Feb 2020 01:36PM

SINGAPURA: Seorang penolong pengurus stesen bersama SBS Transit dipenjara tiga minggu dan diharamkan daripada memanda selama lima tahun pada Selasa (25 Feb) kerana melanggar seorang pejalan kaki yang kemudiannya meninggal dunia di hospital.

Kasmani Hashim, 56 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kematian akibat tindakan cuai.

Mahkamah diberitahu Kasmani berada bersama keluarganya di sebuah tempat letak kereta terbuka, bersebelahan Decathlon di Stadium Boulevard, pada tanggal 2 Jun 2019.

Pada sekitar jam 1.00 pagi hari berkenaan, dia memandu keluar dari petak tempat letak keretanya dan membelok kiri ke jalan sehala di tempat meletak kereta itu.

Lampu depan keretanya dihidupkan dan dia memandu pada kelajuan kira-kira 10 kilometer sejam ketika membelok kanan ke arah keluar dari tempat letak kereta tersebut.

Bagaimanapun, dia gagal untuk memeriksa keadaan sekelilingnya dengan teliti dan tidak nampak mangsa, seorang lelaki berusia 46 tahun, menyeberangi jalan.

Mangsa, yang memakai baju berwarna gelap dan jeans biru, sedang melintas jalan raya dengan membelakangkan kereta itu, menurut Timbalan Pendakwa Raya Benedict Chan.

Penumpang di depan ternampak mangsa melintasi jalan raya itu dan menjerit "ada orang di depan!" dalam bahasa Melayu.

Teriakan dan jeritan dapat didengar sewaktu pelanggaran berlaku dalam rakaman video yang ditunjukkan di mahkamah.

Setelah bertembung dengan bahagian belakang mangsa, menyebabkan lelaki itu terjatuh, Kamsani gagal untuk memberhentikan kenderaannya lalu menggilis mangsa dengan tayar kiri.

Pelanggaran itu dirakamkan oleh kamera yang dipasangkan dalam kereta dan dilihat oleh seorang saksi beberapa meter dari kenderaan tersebut.

Kasmani keluar daripada kenderaannya untuk memeriksa keadaan mangsa manakala anak perempuannya menghubungi ambulans dan memeriksa nadi serta pernafasan lelaki itu.

Anak perempuan Kasmani menyedari bahawa tempurung kepala mangsa retak dan berdarah.

Mangsa dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia akibat kecederaannya kurang sejam kemudian.

Pendakwa berkata mangsa tidak melanggar undang-undang ketika melintas jalan kerana beliau berada di tempat meletak kereta. Beliau juga tidak menggunakan telefon bimbitnya ketika berbuat demikian.

Kenderaan Kasmani didapati berada dalam keadaan baik.

Pihak pembelaan menyatakan Kasmani merasa sangat bersalah dan cuba melawat keluarga mangsa untuk meminta maaf, tetapi "ditolak oleh penyiasat".

Beliau menambah bahawa pencahayaan di tapak tersebut "sangat malap".

Bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat tindakan cuai, Kamsani boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan