Images
  • gavel
    Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Pekerja sambilan Grab didenda S$5,000 curi jam Cartier ditemui pemandu

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja sementara untuk syarikat pengangkutan, Grab didenda S$5,000 pada Rabu (21 Julai) kerana menggelapkan jam tangan Cartier bernilai hampir sama dengan jumlah denda itu.

Kaushalia Kathiravan sepatutnya membungkus barang-barang yang dilaporkan hilang dan menyerahkannya kepada pejabat Grab. Sebaliknya, dia mencuri jam tangan mewah itu dan berbohong bahawa dia tidak dapat menemuinya.

Warga Singapura itu mengaku bersalah di mahkamah daerah atas satu tuduhan pecah amanah. Dia sudahpun memulangkan sepenuhnya jumlah tersebut.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 1 Julai 2019, pemandu Grab Tan King Way menjumpai jam tangan Tank Francaise Cartier bernilai S$5,150 di dalam kenderaannya.

Jam tangan itu diletakkan di dalam kantung, yang diletakkan di dalam beg kertas dengan logo Cartier. Encik Tan melaporkan insiden itu dan menyerahkan jam tangan tersebut kepada pejabat Grab bagi barang yang dilaporkan hilang, yang terletak di 28 Sin Ming Lane.

Pada 6 Ogos tahun itu, Kaushalia dan Cik Charmaine Ang, yang merupakan rakan kerjanya di Grab ketika itu, ditugaskan untuk menguruskan pejabat tersebut.

Mereka ditugaskan untuk memeriksa dan membungkus barang-barang yang dilaporkan hilang dan belum dituntut selama lebih sebulan.

Mereka berdua sedang menyusun barang-barang di atas meja apabila Kaushalia ternampak beg kertas Cartier. Dia kemudian mengambil jam tangan tersebut dan memasukkan semula kantung itu ke dalam beg berkenaan, tanpa disedari oleh Cik Ang.

Beberapa minit kemudian, sekitar 5.08 petang, dia memberitahu rakan kerjanya itu bahawa tidak ada jam tangan Cartier di dalam kantung tersebut walaupun rekod Grab menunjukkan sebaliknya.

Cik Ang yang tidak mengesyaki ada yang tidak kena kemudian mengubah rekod Grab untuk menunjukkan bahawa jam tangan itu tidak dijumpai.

Perbuatan Kaushalia hanya terbongkar sebulan kemudian setelah beberapa kakitangan Grab yang lain memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pejabat Grab untuk mencari wang tunai yang sebelum ini dipercayai hilang setelah disimpan di sana.

Pegawai perhubungan awam firma itu kemudian membuat aduan polis mengenai jam tangan yang hilang pada 6 September 2019.

Atas kesalahan pecah amanah, Kaushalia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda, atau dikenakan kedua-dua hukuman.

- TODAY/TQ/tq

Top