Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja rakyat India yang maut dalam nahas kren Novena pencari nafkah tunggal keluarga

Pekerja binaan rakyat India yang meninggal dunia dalam kejadian kren tumbang di tapak binaan di Novena merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarganya di India.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja rakyat India yang maut dalam nahas kren Novena pencari nafkah tunggal keluarga

(Gambar: Facebook/ItsRainingRaincoats)

Diterbitkan : 07 Nov 2019 08:44AM Dikemas Kini : 07 Nov 2019 08:47AM

SINGAPURA: Pekerja binaan rakyat India yang meninggal dunia dalam kejadian kren tumbang di tapak binaan di Novena merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarganya di India.

Encik Velmurugan Muthian, 28 tahun, disahkan mati di tempat kejadian setelah sebuah kren tumbang semasa operasi mengangkut di tapak binaan sebuah kemudahan pemulihan baru di Jalan Tan Tock Seng pada Selasa (5 Nov).

Seorang pekerja rakyat Bangladesh yang mengalami kecederaan turut dikejarkan ke hospital.

Mayat Encik Velmurugan dijadualkan akan dihantar pulang ke India pada awal Khamis ditemani sepupunya yang juga bekerja di sini, menurut Cik Dipa Swaminathan, Pengasas ItsRainingRaincoats, sebuah inisiatif yang menghulurkan bantuan kepada pekerja asing di Singapura.

Mendiang Velmurugan yang berasal dari Tamil Nadu bekerja dengan syarikat LKT Contractors dan baru bekerja di SIngapura selama tiga bulan.

Sebelum ini, beliau bekerja di Singapura selama lebih lima tahun sebelum pulang ke India untuk mendirikan rumah tangga.

Isterinya, kedua-dua ibu bapanya yang lanjut usia dan adik lelakinya bergantung kepada pendapatannya. Beberapa hari sebelum kejadian, mendiang mendapat berita bahawa isterinya sedang hamil anak pertama mereka, menurut inisiatif ItsRainingRaincoats.

Dalam catatan di Facebook, pertubuhan sukarelawan itu mengongsi pautan kempen mengumpul derma yang sudah mencecah S$57,000 sejauh ini. Dua sukarelawan pertubuhan berkenaan turut memberikan paket putih kepada sepupu mendiang, kata Cik Dipa.

Derma yang dikumpul akan dihantar kepada keluarganya di India.

"Besar kemungkinan kami akan menantikan sepupunya untuk pulang dari India dan memberikan wang itu kepadanya secara peribadi supaya beliau boleh memberikannya kepada keluarga mendiang," kata Cik Dipa.

Tambahnya, mereka mahu memastikan wang itu digunakan sebaiknya dan ia diberikan kepada keluarga mendiang.

Cik Dipa memberitahu Mediacorp bahawa kempen pengumpulan dana itu berkemungkinan akan diteruskan hingga sepupu mendiang pulang ke Singapura pada 14 November.

Menjelaskan tentang keputusan untuk meletakkan butiran mendiang di laman media sosial, Cik Dipa berkata: "Matlamat sebenar kami, lebih daripada wang adalah kami tidak inginkan beliau menjadi hanya satu lagi statistik. Kami mahu setiap orang mengenali nama dan kisahnya."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan