Images
  • covid-19 test sg
    (Gambar: AFP)

Pekerja pulih dari COVID-19 tetapi kesilapan MOH sebabkan majikan lewat dimaklumkan

SINGAPURA: Seorang pekerja asing tidak dapat bekerja selama lima hari selepas satu kesilapan pentadbiran oleh Kementerian Kesihatan (MOH) menyebabkan kelengahan sebelum majikannya diberitahu beliau bebas daripada jangkitan COVID-19.

Dalam tempoh itu, majikannya berkata beliau tidak menerima pengesahan tentang status jangkitan pekerjanya yang tidak tinggal di sebuah dormitori.

Kejadian ini bukan yang pertama. Sebelum ini, Mediacorp melaporkan satu kesilapan pentadbiran oleh MOH dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang menyebabkan seorang pekerja asing dimaklumkan beliau diuji positif bagi COVID-19 tiga minggu selepas beliau menjalani ujian swab.

APA YANG BERLAKU

Dalam kes terbaru ini, pekerja asing itu digajikan oleh sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja kejuruteraan awam dan projek kontraktor, dan beliau telah terus bekerja dan menjalani ujian secara tetap.

Majikan pekerja itu, yang tidak mahu namanya didedahkan, berkata bahawa pekerja itu menjalani ujian berkelompok yang djadualkan pada 4 Jun di pusat pengujian daerah di Pentas Terapung Marina Bay.

Pekerja tersebut juga perlu menjalani ujian swab secara individu di Hospital Farrer Park pada 8 Jun.

Pada 22 Jun, pekerja itu menjalani satu lagi ujian berkelompok dan sekali lagi menjalani ujian swab individu pada 25 Jun di tempat yang sama.

Majikannya memberitahu Mediacorp bahawa beliau tidak menerima keputusan ujian individu pertama pekerja itu dan menganggap semuanya baik-baik sahaja. Bagi ujian individu yang kedua, beliau dimaklumkan oleh BCA bahawa hasil ujian bagi COVID-19 adalah negatif.

Pada 27 Jun, BCA memaklumkan kepada majikan tersebut bahawa pekerjanya perlu menjalani ujian serologi pada 29 Jun. Namun, kedua-dua majikan dan pekerja berkenaan tidak dimaklumkan akan keputusan ujian tersebut.

Pada 13 Julai, status pekerja itu pada aplikasi mudah alih SGWorkPass bertukar kepada warna merah, bermakna beliau tidak dibenarkan untuk bekerja. Namun, aplikasi itu juga mendedahkan bahawa beliau "bebas" COVID-19, kata majikannya.

Disebabkan status baru itu, majikannya mengambil masa beberapa hari kemudian untuk mendapatkan penjelasan daripada BCA, MOH dan MOM, namun tiada pihak antara ketiga-tiga agensi itu yang boleh menjelaskan percanggahan tersebut, katanya.

Kemudian pada 17 Julai, aplikasi itu menunjukkan bahawa pekerja itu mempunyai jangkitan yang aktif, namun tiada notis rasmi atau arahan pengasingan dikeluarkan pihak berkuasa, menurut majikannya.

Selepas itu pada hari yang sama, seorang pegawai daripada pasukan bertindak berbilang kementerian yang menangani situasi COVID-19 di dormitori pekerja asing menasihatkan majikannya supaya memastikan pekerjanya tidak ke tempat kerja.

Akhirnya pada 21 Jul, majikannya menerima surat pelepasan dari MOH bertarikh 30 Jun, yang menyatakan pekerja itu tidak lagi mempunyai jangkitan COVID-19 dan boleh bekerja semula.

Secara keseluruhan, ia mengambil masa lebih seminggu sebelum majikannya mendapat jawapan muktamad yang menyatakan pekerjanya boleh bekerja semula, namun beliau tidak dapat bekerja selama lima hari.

APA KATA MOH

Menjawab pertanyaan oleh Mediacorp, MOH menyatakan bahawa 'memo pelepasan' yang diberikan kepada kes-kes COVID-19 yang sudah pulih tidak diberikan lebih awal kepada pekerja itu "kerana satu kesilapan pentadbiran".

MOH mengeluarkan memo pelepasan pada 30 Jun selepas ujian dijalankan pada 29 Jun, namun disebabkan oleh "kesilapan" itu, pekerja ataupun majikan itu tidak menerima memo itu hingga hari kemudian.

MOH menambah ia sudah pun menghubungi majikan tersebut untuk menjelaskan keadaan itu kepadanya.

Memberi penjelasan mengapa ujian-ujian tersebut diatur, MOH menyatakan keputusan ujian berkelompok pertama yang dijalankan pada 4 Jun tidak muktamad manakala keputusan ujian berkelompok kedua yang dijalankan pada 22 Jun adalah positif.

Dalam keadaan sedemkian, "individu akan menjalani ujian swab semula bagi menentukan ujian berkelompok manakah yang mungkin positif COVID-19."

Pekerja itu kemudian menjalani ujian swab secara individu pada 8 Jun dan 25 Jun dan keputusan bagi kedua-duanya adalah negatif. Dan disebabkan oleh mandat protokol bahawa hanya pesakit yang diuji positif akan dimaklumkan, majikan dan pekerja itu tidak menerima sebarang makluman tentang hasil ujian-ujian itu dari MOH.

Berhubung ujian berkelompok kedua di mana sampelnya adalah positif, apabila kesemua ujian swab pekerja secara individu menunjukkan keputusan negatif, satu ujian serologi dijalankan pada 29 Jun bagi menentukan siapa dalam kalangan mereka yang positif COVID-19.

Ujian serologi pekerja itu kemudian menunjukkan keputusan positif, kata MOH, yang menunjukkan beliau mungkin pernah dijangkiti, menurut MOH. Bersama dengan keputusan negatif ujian swab yang diambil pada 25 Jun, pekerja itu "dinilai sebagai pekerja yang sudah pulih dan tidak lagi berjangkit", menurut MOH.

Dengan jawapan dari MOH, majikan itu mengesahkan kementerian itu sudah menghubunginya mengenai kejadian itu secara peribadi, namun beliau tidak berpuas hati kerana surat pelepasan yang bertarikh 30 Jun adalah satu "bentuk salah maklumat" memandangkan pekerjanya belum pernah secara rasmi didiagnos mempunyai COVID-19.

- TODAY/HA/ha

Top