Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja pembersihan warga M'sia ditahan di bawah ISA; isterinya warga S'pura dikenakan Arahan Sekatan

Seorang lelaki warga Malaysia yang bekerja di Singapura diberkas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2020 kerana menyokong ISIS, manakala isterinya seorang rakyat Singapura yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), dikenakan Arahan Sekatan (RO).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia yang bekerja di Singapura diberkas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2020 kerana menyokong ISIS, manakala isterinya seorang rakyat Singapura yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), dikenakan Arahan Sekatan (RO).

Ini menurut kenyataan media oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) yang dikeluarkan pada Selasa (9 Feb) yang turut mendedahkan bahawa wanita tersebut dipengaruhi oleh suaminya yang taksub dengan fahaman radikal.

Warga Malaysia tersebut, Mohd Firdaus Kamal Indtzam, sudah dihantar pulang setelah selesai siasatan ISD. Isterinya pula, suri rumah dan asatizah sambilan Ruqayyah Ramli, dikenakan Arahan Sekatan (RO) selama dua tahun.

TEMUI PROPAGANDA ISIS SEMASA CARI ILMU AGAMA ONLINE

Firdaus, seorang pekerja pembersihan berusia 33 tahun, ditahan di bawah ISA pada Julai 2020 setelah siasatan mendapati dia menyokong kumpulan pengganas ISIS.

Dia mula menjadi radikal sejak 2016 apabila dia cuba mendalami ilmu agama dengan mencari maklumat di Internet.

Dia sebaliknya menemui propaganda ISIS.

"Menerusi pendedahan berterusan kepada bahan-bahan yang pro-ISIS, Firdaus semakin taksub dengan propaganda ISIS yang mendakwa bahawa ia berjuang untuk Islam dan mewajarkan penggunaan keganasan untuk membentuk sebuah wilayah Islam," menurut ISD.

Pihak berkuasa menambah, sokongan Firdaus terhadap ISIS tetap teguh meskipun setelah kumpulan pengganas itu hilang pengaruh dan tumbang di Syria dan Iraq.

"Dia secara aktif memuat naik bahan-bahan yang menyokong ISIS dan jihad bersenjata ke akaun-akaun media sosialnya," dedah ISD.

Ketaksuban Firdaus terhadap ISIS begitu tinggi sehinggakan dia menggantung bendera kumpulan itu di rumahnya pada Mac tahun lalu sebagai tanda taat setianya kepada kumpulan tersebut.

Firdaus juga berhasrat untuk membawa isterinya ke Syria untuk berjuang bersama ISIS.

Dia juga sanggup mati di medan pertempuran demi ISIS dan bersedia melancarkan serangan ke atas negara-negara yang dianggapnya "menzalimi Muslim, atau yang dianggapnya sebagai munafik kerana menyokong negara-negara Barat".

ISD menambah bahawa siasatan yang dijalankan dengan kerjasama Cawangan Khas Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Firdaus sudah membuat sebarang rancangan khusus untuk menyerang atau melancarkan sebarang tindakan pengganas di Singapura.

Selepas selesai menjalankan siasatan, Pas Kerja Firdaus ditarik balik dan dia dihantar pulang ke Malaysia dan diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu pada Ogos 2020.

ISTERI JADI RADIKAL SETELAH NIKAHI FIRDAUS

Siasatan ISD mendapati bahawa isteri Firdaus, Ruqayyah Ramli, 34 tahun, mula terpengaruh dengan fahaman tegar suaminya berkaitan ISIS sejak pernikahan mereka pada Disember 2018.

Meskipun pada awalnya mempunyai keraguan, Ruqayyah kemudian semakin terpengaruh dengan ideologi ISIS yang menyifatkan keganasan terhadap apa yang dianggap oleh kumpulan itu sebagai penindasan ke atas Islam adalah sesuatu yang wajar.

"Ruqayyah juga menyokong hasrat Firdaus untuk menganggotai ISIS dan berjuang di Syria. Dia sanggup menemani suaminya dan membawa kedua-dua anak mereka sekali," menurut ISD.

"Dia yakin peranannya di zon konflik adalah dengan menjaga keluarga (dengan memasak dan melakukan kerja rumah) dan membantu anggota lain ISIS yang cedera."

ISD menambah siasatan tidak menunjukkan bahawa Ruqayyah cuba menyebarkan ideologi pro-ISIS kepada orang lain.

Pengiktirafan ARS Ruqayyah, yang diluluskan pada September 2017, sudah ditarik balik dan dia tidak lagi dibenarkan untuk mengadakan sebarang kelas agama sebagai sebahagian daripada syarat-syarat di bawah Arahan Sekatan (RO) selama dua tahun bermula Ogos 2020.

Menurut ISD lagi, Ruqayyah sedang menjalani kaunseling untuk menjauhkannya daripada fahaman radikal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan