Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja pembersihan wajib dapat bonus tahunan mulai tahun 2020

Mulai tahun 2020, para majikan wajib memberikan bonus tahunan kepada para pekerja pembersihan (resident cleaners).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai tahun 2020, para majikan wajib memberikan bonus tahunan kepada para pekerja pembersihan (resident cleaners).

Ini bermakna, pekerja pembersihan yang sudah bekerja selama sekurang-kurangnya 12 bulan di bawah syarikat pembersihan yang sama, akan diberi bonus 2 minggu gaji. Ia dipanggil Bonus Model Gaji Progresif.

Ini terkandung dalam pindaan terhadap Rang Undang-Undang Kesihatan Awam Sekitaran yang diluluskan Parlimen hari ini (2 Okt).

Semakan ini, menurut Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari, menjadi detik penting bagi para pekerja pembersihan kerana ia secara langsung atau tidak, dapat menangani rungutan para pekerja pembersihan yang tidak menerima bonus akhir tahun.

Encik Zainal, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Tiga Pihak bagi Kelompok Pekerja Pembersihan (TCC), berkata terdapat 46,000 pekerja pembersihan di negara ini.

Bukan saja gaji asas mereka agak rendah, tetapi ada di kalangan mereka jarang menerima bonus gaji tahunan akhir tahun.

Encik Zainal menambah bahawa perkara itu membuat kedudukan pekerjaan mereka tidak menentu dan membawa cabaran untuk mereka pada hari-hari mendatang.

"Golongan inilah yang benar-benar berharap mendapat bonus untuk membantu membiayai kos sara hidup keluarga mereka. Dengan itu, saya sokong pindaan kepada Akta ini kerana ia akan mewajibkan syarikat-syarikat pembersihan untuk memberi bonus Model Gaji Progresif kepada setiap pekerja pembersihan tempatan," ujarnya.

Menurut Encik Zainal, walaupun jumlahnya hanya sekadar dua minggu gaji, ini adalah langkah permulaan yang penting kerana memberi jaminan bahawa salah satu golongan pekerja bergaji rendah akan mendapat bonus setiap tahun.

Dalam ucapannya itu juga, beliau meluahkan sentimen bahawa ia adalah tanggungjawab seluruh masyarakat dalam memastikan kehidupan yang lebih baik bermutu bagi golongan pekerja bergaji rendah dan keluarga mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan