Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja NUH Sharifah Mohamed yang curi S$25,000 dari kawan dijel 7 bulan

Seorang pekerja di Hospital Universiti Nasional (NUH) yang mencuri sebanyak S$25,000 daripada rakan kerjanya menggunakan kad ATM miliknya, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan pada Selasa (4 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja NUH Sharifah Mohamed yang curi S$25,000 dari kawan dijel 7 bulan

Gambar fail NUH.

Diterbitkan : 04 Sep 2018 08:00PM Dikemas Kini : 04 Sep 2018 08:04PM

SINGAPURA: Seorang pekerja di Hospital Universiti Nasional (NUH) yang mencuri sebanyak S$25,000 daripada rakan kerjanya menggunakan kad ATM miliknya, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan pada Selasa (4 Sep).

Sharifah Mohamed, 29 tahun, bekerja sebagai penolong perkhidmatan di NUH, melakukan beberapa kerja pentadbiran di wad-wad dan kinik-klinik. Rakan kerjanya, Cik Sushma Sukanya Mohon, 30 tahun, bekerja sebagai seorang jururawat di bilik bersalin.

Pada Disember 2016, Cik Sushma memberi Sharifah kunci lokarnya supaya beliau dapat meletakkan makanan di dalamnya. Sharifah membuka lokar itu dan melihat kad ATM POSB Cik Sushma di dalamnya.

Sharifah tahu nombor pin bagi kad tersebut kerana dia pernah melihat kawannya menekan nombor pin itu di ATM. Dia kemudian mencuri kad itu, dan antara Februari dengan April tahun lalu, dia mencuri wang sebanyak S$25,000 dari akaun rakannya, sama ada menerusi pengeluaran atau pemindahan bank.

Hanya pada bulan Mei 2017, Cik Sushma menyedari ada wang yang lesap dari akaunnya dan terdapat banyak rekod transaksi yang tidak dilakukannya. Beliau kemudian membuat aduan polis.

Timbalan Pendakwa Raya Thiagesh Sukumaran meminta hukuman selama tujuh bulan, dengan mengatakan bahawa Sharifah tidak berhenti melakukan jenayah tersebut. Beliau menambah bahawa terdapat pecah amanah kerana kedua-dua wanita itu merupakan kawan.

TERTUDUH SEDANG CUBA MELANGSAIKAN HUTANG BEKAS SUAMI

Peguam Pembela Wong Jieh berkata dalam pengakuan rayuannya bahawa Sharifah melakukan jenayah itu "akibat terlalu terdesak". Bekas suaminya sudah meminjam wang daripada tailong dan mereka sedang mengganggunya, kata Encik Wong.

Seorang jurucakap NUH memberitahu Mediacorp bahawa Sharifah tidak lagi bekerja di hospital tersebut.

Atas kesalahan menipu, Sharifah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya.

Bagi melakukan pemindahan bank, yang di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan