Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja maut digilis lori pam konkrit di tapak binaan

Warga India berusia 37 tahun yang bekerja untuk Lum Chang Building Contractors itu dihempap pintu pagar lalu digilis oleh lori yang memecut secara tiba-tiba.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja maut digilis lori pam konkrit di tapak binaan

Pekerja di tapak binaan. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 12:51PM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 12:53PM

SINGAPURA: Seorang pekerja meninggal dunia minggu lalu setelah dilanggar trak pam konkrit di sebuah tapak pembinaan.

Warga India berusia 37 tahun itu sedang bertindak sebagai pengawal lalu lintas berhampiran pintu pagar di tapak kerja di Bedok North pada 17 September apabila dia dilanggar oleh sebuah trak yang merempuh pintu pagar tersebut, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (23 Sep).

Kenderaan itu tiba-tiba memecut dan menyebabkan pintu pagar itu roboh lalu menimpa pekerja berkenaan. Trak itu kemudian menggilis pintu pagar dan pekerja tersebut.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di 1 Bedok North Street 2 pada pukul 5.55 petang.

Anggota penyelamat SCDF menggunakan jentera untuk mengeluarkan pekerja yang terperangkap.

Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik.

Pekerja berkenaan, yang tidak didedahkan namanya, bekerja untuk Lum Chang Building Contractors.

MOM sedang menyiasat insiden itu dan sudahpun mengarahkan Lum Chang supaya menghentikan semua operasi kenderaan dan jentera di tempat kerja, menurut kementerian tersebut.

Polis menyatakan seorang lelaki berusia 26 tahun ditangkap atas perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Satu amaran Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) menyatakan bahawa kemalangan seperti itu boleh dicegah dengan beberapa langkah keselamatan.

Syarikat-syarikat seharusnya mempunyai rancangan pengurusan lalu lintas di tempat kerja untuk menguruskan pergerakan kenderaan dengan selamat. Selain itu, kenderaan syarikat juga perlu diperiksa dan dijaga secara berkala.

Pengawal lalu lintas seharusnya memakai jaket reflektif berwarna terang agar pemandu boleh melihat mereka dengan sangat jelas.

"Pertimbangkan penggunaan teknologi untuk meningkatkan dan/atau memantau keselamatan kenderaan seperti sensor perlanggaran, kamera titik buta, penggera pengundur dan pembatas had laju," menurut surat pekeliling WSH.

Dengan kemalangan ini, jumlah keseluruhan kematian di tempat kerja pada 2021 meningkat kepada 27 orang.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan