Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja India, Bangladesh berkurangan, syarikat cari tenaga kerja alternatif

Syarikat-syarikat yang lazimnya bergantung pada pekerja hijrahan dari India dan Bangladesh kini meneroka lebih jauh lagi bagi mendapatkan tenaga kerja, menurut beberapa syarikat kepada Mediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja India, Bangladesh berkurangan, syarikat cari tenaga kerja alternatif

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 07 May 2021 05:05PM Dikemas Kini : 07 May 2021 05:08PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang lazimnya bergantung pada pekerja hijrahan dari India dan Bangladesh kini meneroka lebih jauh lagi bagi mendapatkan tenaga kerja, menurut beberapa syarikat kepada Mediacorp.

Namun, menurut syarikat-syarikat itu mereka baru sahaja mula mempertimbangkan pilihan lain, dan menjangkakan berlaku penangguhan dan gangguan pada projek buat sementara waktu.

Mulai 2 Mei, Singapura menyekat kemasukan atau persinggahan pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka.

Larangan perjalanan itu yang meliputi pemegang pas jangka panjang, dilaksanakan di tengah-tengah beberapa siri langkah untuk mengetatkan sempadan Singapura sedang pandemik COVID-19 di India bertambah buruk dan Singapura mencatatkan lebih banyak kes jangkitan tempatan sepanjang beberapa minggu lalu.

Menteri Pendidikan Lawrence Wong, yang mempengerusikan bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, akur bahawa ia akan mempunyai kesan kepada industri seperti binaan, dan banyak syarikat kecil dan sederhana di Singapura serta kontraktor juga akan terjejas.

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA)pada 26 April menyatakan bahawa ia akan memberi lebih banyak kelonggaran kepada syarikat-syarikat untuk membawa masuk pekerja dari China, antara langkah sokongan yang ditawarkan.

Namun, syarikat-syarikat memberitahu Mediacorp bahawa ini tidak dapat menyelesaikan masalah kekurangan pekerja.

KEKURANGAN PEKERJA SEJAK TAHUN LALU

Seorang pengurus dalam industri binaan yang hanya mahu dikenali sebagai Alan, berkata kos pengambilan pekerja dari China akan "melonjak" sedang permintaan meningkat.

"Seperti sedia maklum, kadar harian bagi seorang pekerja warga China adalah kira-kira S$200 hingga S$300 setiap hari. Dengan langkah ini, kosnya naik sebanyak 30 hingga 40 peratus bagi setiap pekerja," katanya.

"Namun, saya fikir banyak syarikat tidak akan segera mengambil lebih banyak pekerja China kerana mereka tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk berbuat demikian. Dan ini akan menyebabkan lebih banyak projek tertangguh."

Kadar harian tersebut termasuk kos perumahan, levi dan insurans untuk pekerja, yang perlu dibayar oleh syarikat. Kadar harian bagi pekerja dari India atau Bangladesh adalah sekitar S$120 hingga S$150 sekarang, berbanding S$70 hingga S$80 dahulu.

Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL) menyatakan pada 23 April bahawa masalah bekalan pekerja itu sudah pun menyebabkan penangguhan selama sembilan hingga 12 bulan bagi projek-projek binaan, manakala kos buruh dan bahan-bahan naik sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus.

"Beberapa syarikat mungkin terpaksa gulung tikar dan ini akan menjejas sekitar 100,000 pekerja dalam sektor binaan," menurut persatuan itu sambil menambah akan ada penangguhan projek selanjutnya.

Naib presiden kanan penyelidikan dan analisis Orange Tee, Cik Christine Sun berkata bahawa kekurangan itu kemungkinan akan berterusan untuk tempoh jangka masa pendek hingga pertengahan.

"Keadaan mungkin bertambah stabil apabila lebih ramai orang sudah diberi suntikan vaksin dan sekatan perjalanan dilonggarkan semula," katanya. "Beberapa pemilik rumah yang terjejas mungkin perlu menyesuaikan tarikh perkahwinan atau melakukan perancangan keluarga."

KESIHATAN PEKERJA

Penolong Profesor Laavanya Kathiravelu, dari Sekolah Sains Sosial Universiti Teknologi Nanyang yang tugasannya tertumpu pada pekerja hijrahan dari Asia Selatan, berkata bahawa beberapa industri lain mungkin terjejas. Ini termasuk industri makanan dan minuman (F&B), limbungan kapal dan perkilangan serta syarikat-syarikat yang melakukan tugasan pembaikan dan penyenggaraan.

"Kesemua ini adalah bidang-bidang dalam ekonomi kami yang sangat bergantung pada pekerja hijrahan dari Asia Selatan," katanya.

Menurutnya lagi, para pekerja hijrahan yang masih bekerja di Singapura juga dijangka memikul lebih banyak beban kerja dan waktu kerja lebih panjang disebabkan oleh kurangnya bekalan pekerja.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan