Images
  • cek
    Gambar fail.

Pekerja butik pengantin diberkas; palsukan cek S$40,200

SINGAPURA: Seorang pekerja butik pengantin berusia 37 tahun diberkas kerana mencuri S$40,200 daripada akaun bank majikannya dengan memalsukan sekeping cek.

Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataannya pada Khamis (16 Ogos) mendedahkan bahawa pihaknya menerima aduan pada 4.51 petang pada Jumaat lalu yang melaporkan bahawa dana sudah dikeluarkan daripada akaun bank syarikat mangsa melalui sekeping cek palsu.

Satu lagi cek juga dilaporkan hilang daripada buku akaun mangsa yang disimpan di pejabatnya di Orchard Road.

Para pegawai daripada Divisyen Polis Tanglin berjaya mengenal pasti suspek wanita dan menangkapnya pada Rabu di Orchard Road. Siasatan awal menunjukkan bahawa dia memasuki pejabat untuk mencuri cek dan memalsukan cek berkenaan.

Wanita tersebut akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (17 Ogos) atas tuduhan pecah masuk pejabat majikannya dan mencuri.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 14 tahun dan didenda. Atas kesalahan pemalsuan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun dan didenda.

- CNA/NA/na

Top