Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja bimbang tentang keselamatan setelah diminta kembali ke pejabat pada 2 Jun

Sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan, Lisa, seorang penyambut tetamu di sebuah syarikat pelaburan tempatan kecil, bekerja dari rumah dengan pemahaman bahawa pengaturan kerja ini akan diteruskan untuk jangka masa lebih lama kerana situasi COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja bimbang tentang keselamatan setelah diminta kembali ke pejabat pada 2 Jun

Pemeriksaan suhu badan di luar One Raffles Place (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 01 Jun 2020 12:10PM Dikemas Kini : 01 Jun 2020 12:14PM

SINGAPURA: Sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan, Lisa, seorang penyambut tetamu di sebuah syarikat pelaburan tempatan kecil, bekerja dari rumah dengan pemahaman bahawa pengaturan kerja ini akan diteruskan untuk jangka masa lebih lama kerana situasi COVID-19.

Oleh itu apabila pengarah syarikatnya memintanya untuk melaporkan diri ke pejabat mulai Selasa (2 Jun), ibu kepada dua anak itu yang sedang hamil tujuh bulan dengan anak ketiganya, berasa terkejut.

Tugas utama Lisa yang enggan nama penuhnya didedahkan adalah menjawab panggilan telefon, yang menurutnya boleh dilakukan dari rumah, kerana panggilan dialihkan dari pejabat utama.

Ini menimbulkan keraguan dalam dirinya kerana Pemerintah telah menyatakan sebelum ini bahawa semua pekerja mesti terus bekerja dari rumah kecuali benar-benar perlu ke pejabat selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan berakhir pada Isnin.

Dengan Singapura memasuki fasa pertama daripada tiga fasa pembukaan semula kegiatan ekonomi, sesetengah majikan dan kakitangan bawahan memberitahu Mediacorp mengenai kekeliruan mengenai peraturan "kerja dari rumah sedapat mungkin", walaupun dengan permulaan fasa pertama pada Selasa.

Pada fasa pertama, Pemerintah telah menyatakan bahawa pekerja dikehendaki terus bekerja dari rumah sedapat mungkin.

Di bawah Akta Penyakit Berjangkit, majikan yang tidak menyediakan kemudahan bagi kakitangan untuk bekerja dari rumah sedang pengaturan sedemikian dapat dicapai boleh dipenjara atau didenda. Perniagaan juga mungkin dikenakan arahan berhenti kerja atau hukuman lain.

Pelanggaran atau amalan tidak memuaskan berhubung tindakan pengurusan keselamatan sedemikian boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa melalui aplikasi mudah alih SnapSAFE, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Pada Jumaat, MOM memberikan penjelasan bahawa bekerja dari rumah adalah pendirian utama.

‘TIADA SEBAB’ KEMBALI KE PEJABAT

Beberapa pekerja pejabat memberitahu Mediacorp bahawa majikan mereka telah mengarahkan mereka untuk kembali bekerja walaupun mereka berjaya melaksanakan kerja dari rumah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Para pekerja berkata bahawa arahan untuk kembali ke pejabat semasa fasa pertama akan mendedahkan mereka dan keluarga mereka kepada risiko jangkitan COVID-19.

Sebilangannya berkata syarikat mereka tidak memberikan panduan mengenai aturan kerja sedang Singapura beralih dari tempoh pemutus rantaian jangkitan ke fasa pertama pembukaan semula ekonomi.

Ada pula ditawarkan "pilihan" antara kerja dari rumah dengan pejabat, walaupun peraturan MOM jelas menyatakan bahawa pada fasa pertama, pekerja mesti bekerja dari rumah jika pilihan itu tersedia untuk mereka.

Lisa, seorang penyambut tetamu di firma kewangan, berkata beliau cuba memberitahu jabatan sumber manusia dan majikannya bahawa mereka mungkin melanggar undang-undang - tetapi tidak berhasil.

Penyelianya tetap mahu beliau melakukan kerjanya di pejabat.

Lisa mengambil langkah untuk melaporkan majikannya kepada pihak berkuasa pada Khamis menerusi emel dan sedang menanti jawapan.

Seorang pereka di sebuah syarikat pemborong pakaian, yang hanya ingin dikenali sebagai Alicia, 28, berkata bahawa majikannya memberitahu semua kakitangan untuk kembali ke pejabat, kecuali mereka yang kurang sihat, berumur atau hamil.

Beliau berkata alasan yang diberi adalah untuk mendapatkan akses ke "sistem dan perkakasan" khusus. Namun, Alicia berkata bahawa beliau hanya memerlukan komputer untuk menjalankan tugasnya, dan ini dapat dilakukan dari rumah.

"Saya rasa ini tidak munasabah," kata Alicia.

Pengurus perhubungan awam Clare Li, 28 mengatakan bahawa majikannya - yang beliau enggan dedahkan namanya - meminta 30 peratus pekerja dari setiap jabatan untuk kembali ke pejabat. Beliau mendakwa beliau dapat melakukan semua tugasnya dari rumah.

Beliau berkata bahawa ketika majikannya, "tidak dapat memberikan alasan yang baik mengapa" beliau dan rakan-rakan setugasnya harus kembali ke pejabat semasa fasa pertama.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan