Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja bergaul, tidak pakai pelitup di Pelabuhan Perikanan Jurong mungkin punca penularan COVID-19

Para penjual ikan yang tidak memakai pelitup ketika melakukan kerja-kerja berat atau semasa berehat mungkin menjadi punca berlakunya penularan kes di premis pemborong makanan laut utama Singapura, menurut dapatan awal pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja bergaul, tidak pakai pelitup di Pelabuhan Perikanan Jurong mungkin punca penularan COVID-19

Kerja-kerja pembersihan di Pelabuhan Perikanan Jurong. (Gambar: Grace Fu/Facebook)

Diterbitkan : 27 Jul 2021 08:12AM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 08:14AM

SINGAPURA: Para penjual ikan yang tidak memakai pelitup ketika melakukan kerja-kerja berat atau semasa berehat mungkin menjadi punca berlakunya penularan kes di premis pemborong makanan laut utama Singapura.

Demikian dedah dapatan awal pihak berkuasa.

Pelabuhan Perikanan Jurong itu, yang merupakan sebuah pasar, juga bererti para pekerja dan peniaga bergaul bebas di seluruh kemudahan tersebut, kata Cik Grace Fu di Parlimen pada Isnin (26 Julai).

Menteri Kemampanan dan Sekitaran itu menambah bahawa langkah-langkah penghantaran tanpa sentuh juga tidak dipatuhi dengan ketat.

Penularan serius kes-kes di Pelabuhan Perikanan Jurong, dengan 858 jangkitan yang terkait dengannya setakat Isnin, mendorong pihak berkuasa untuk memperketat sekatan COVID-19 dari 22 Julai hingga 18 Ogos.

Ia merupakan kelompok aktif terbesar COVID-19 dalam masyarakat di Singapura sekarang.

Siasatan sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk menentukan bagaimana penularan itu berlaku di Pelabuhan Perikanan Jurong, kata Cik Fu.

Mereka juga sedang menyiasat kemungkinan penularan koronavirus melalui objek-objek di pelabuhan.

Cik Fu berkata kurangnya pematuhan peraturan memakai pelitup mungkin disebabkan oleh sekitaran lembap di pelabuhan, sekali gus menjadikannya tidak selesa untuk para pekerja berpelitup untuk jangka yang panjang.

Para pekerja itu juga perlu memindahkan kotak-kotak, yang diisi dengan ikan dan ais, yang masing-masing beratnya boleh mencecah 120 kilogram.

Beliau berkata kelemahan-kelemahan itu berlaku sedangkan langkah-langkah keselamatan sudah ditetapkan. Ini termasuk penghantaran tanpa sentuhan dan akses terkawal ke kemudahan itu, dengan hanya membenarkan pekerja dan pengunjung perdagangan yang berdaftar untuk masuk.

Sebelum pelabuhan perikanan itu dibuka kembali, pusingan kedua pembersihan menyeluruh di kemudahan itu akan dijalankan.

Setelah ia dibuka, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan: 

  • Pembersihan kawasan umum dan peti-peti secara kerap
  • Ujian rutin berjadual setiap tujuh hari untuk semua pekerja
  • Memperketat protokol penghantaran tanpa sentuhan bagi para pemandu lori dan anak perahu
  • Ujian pantas antigen ke atas para pengunjung perdagangan yang memasuki kemudahan tersebut
  • Rondaan yang lebih kerap untuk memastikan peraturan-peraturan keselamatan dipatuhi

Sementara itu, SFA sudah mengaudit Pelabuhan Perikanan Senoko dan Pusat Borong Pasir Panjang untuk mengenal pasti sebarang kekurangan dalam protokol-protokol keselamatan.

Semua pekerja di sana kini sedang menjalani ujian swab COVID-19.

Pemerintah juga berusaha untuk mengadakan ujian rutin berjadual setiap minggu dan mempertingkat peraturan-peraturan di kemudahan-kemudahan tersebut secepat mungkin.

"Sebuah tapak alternatif sedang disediakan untuk digunakan jika berlakunya lagi penutupan pelabuhan perikanan atau Pusat Borong Pasir Panjang," kata Cik Fu.

Audit serupa akan dijalankan secara progresif untuk merangkumi semua kemudahan utama makanan yang lain, tambahnya.

BEKALAN SEAFOOD ‘STABIL’

Menjawab beberapa pertanyaan Anggota Parlimen, Cik Fu berkata bekalan makanan laut Singapura "tetap stabil" walaupun terdapat gangguan yang disebabkan oleh penutupan Pelabuhan Perikanan Jurong, yang mengendalikan 30 peratus import makanan laut negara.

Ia ditutup sejak 17 Julai selama dua minggu dan semua 684 pekerja di pelabuhan sedang dikuarantin.

Pegerai makanan laut di seluruh negara juga terpaksa menghentikan operasi dan hanya dapat menyambung semula perniagaan setelah mereka diuji negatif COVID-19.

Para pelanggan bergegas ke pasar raya untuk mendapatkan makanan laut setelah mendengar berita mengenai penutupan itu, namun sekatan menjamu selera di premis-premis F&B di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) sekarang, yang bermula pada 22 Julai, membantu mengurangkan sedikit permintaan, jelas Cik Fu.

SFA dan agensi perdagangan Enterprise Singapore mengaktifkan aturan alternatif untuk menyalurkan bekalan makanan laut terus ke pusat-pusat pengedaran pasar raya dan kedai runcit.

Sebilangan gerai makanan laut di pasar-pasar tertentu yang sudah kembali beroperasi kini mendapatkan bekalan daripada Pelabuhan Perikanan Senoko - yang menangani sekitar empat peratus import makanan laut Singapura, kata Cik Fu.

Restoran-restoran dan kedai-kedai makan juga sedang menggunakan makanan laut beku buat masa ini, yang bekalannya "mencukupi", tambah beliau.

SOKONGAN UNTUK PENJAJA, PEGERAI

Demi menyokong para penjaja mengharungi gangguan ini, Pemerintah pada Jumaat lalu (23 Jul) mengumumkan bantuan tunai sekali sahaja sebanyak S$500 bagi setiap penjaja makanan sudah dimasak dan pegerai pasar di pusat-pusat yang diuruskan oleh Agensi Sekitaran Nasional (NEA) atau pengendali yang dilantik oleh NEA.

Ini akan disalurkan terus ke akaun bank para pemilik gerai pada Ogos.

Ini selain subsidi tambahan sebulan bagi yuran khidmat pembersihan meja dan cuci pinggan berpusat serta pengecualian sewa selama sebulan.

Pemerintah juga akan memberikan pengecualian sewa selama lagi empat minggu untuk para penyewa yang layak di hartanah komersil milik pemerintah.

Mereka yang dikuarantin boleh memohon bagi Skim Elaun Perintah Kuarantin.

Pekerja berpendapatan rendah hingga sederhana yang pendapatannya terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 juga boleh memohon Geran Pemulihan COVID-19.

Mereka yang masih berdepan masalah kewangan juga boleh menghubungi NEA, yang akan menilai kes-kes tersebut dan memberikan sokongan berdasarkan setiap kes.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan