Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja belum divaksin, individu dapatkan khidmat perubatan dan jagaan kanak-kanak boleh masuk pusat beli-belah

Individu belum divaksin yang bekerja di pusat beli-belah dan kedai-kedai besar bangunan sendiri masih boleh memasuki premis itu apabila langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi berkuat kuasa mulai Rabu (13 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja belum divaksin, individu dapatkan khidmat perubatan dan jagaan kanak-kanak boleh masuk pusat beli-belah

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Oct 2021 07:57AM Dikemas Kini : 13 Oct 2021 07:59AM

SINGAPURA: Individu belum divaksin yang bekerja di pusat beli-belah dan kedai-kedai besar bangunan sendiri masih boleh memasuki premis itu apabila langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi berkuat kuasa mulai Rabu (13 Okt).

Individu belum divaksin yang ingin mendapatkan khidmat perubatan dan jagaan kanak-kanak dibenarkan masuk jika mereka boleh menunjukkan bukti.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Enterprise Singapore (ESG) mengumumkan pengecualian tersebut dalam satu kenyataan media pada lewat Selasa malam (12 Okt).

Langkah-langkah pengurusan selamat mengikut status vaksinasi diluaskan kepada pusat beli-belah dan kedai besar bangunan sendiri yang bukan pasar raya, selain daya tarikan dan makan di luar di pusat penjaja dan kedai kopi.

Kedai besar bangunan sendiri merujuk kepada kedai yang mempunyai keluasan lebih daripada 930 meter persegi.

Dalam kenyataan pada Selasa, pihak berkuasa menyatakan bahawa pekerja belum divaksin di pusat beli-belah dan kedai-kedai kendiri besar bangunan sendiri perlu menjalani ujian COVID-19 sebanyak dua kali seminggu di bawah rejim vaksinasi atau ujian kerap sejak 1 Oktober.

"Oleh demikian, pekerja sedemikian boleh mengakses tempat kerja mereka, sementara menanti semakan lanjut ke atas dasar ini," menurut MTI dan ESG.

Menurutnya pekerja ini termasuk penyewa dan pekerja pejabat di bangunan itu, serta pekerja yang perlu masuk ke premis tersebut seperti vendor dan pekerja sambilan, pekerja kontrak dari pihak ketiga, pekerja penghantaran makanan dan barangan.

Mereka juga mengulangi bahawa Pemerintah "sangat menggalakkan" semua pekerja belum divaksin yang layak dari segi perubatan supaya mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin.

KHIDMAT PERUBATAN, JAGAAN KANAK-KANAK

Individu belum divaksin yang ingin mendapatkan rawatan perubatan dari doktor, doktor gigi dan pengamal perubatan tradisional Cina serta penjaga mereka, boleh memasuki pusat beli-belah dan kedai besar bangunan sendiri.

Mereka dikehendaki menunjukkan bukti janji temu perubatan mereka seperti surat, e-mel, SMS atau kad janji temu, untuk memasuki premis.

Penjaga belum divaksin yang menghantar atau menjemput pulang kanak-kanak dari prasekolah dan pusat jagaan kanak-kanak juga dibenarkan memasuki premis. Mereka harus mempunyai "surat sokongan" dari prasekolah atau pusat jagaan kanak-kanak itu.

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan bahawa kelonggaran akan dibuat untuk akses ke khidmat-khidmat sedemikian, setelah orang awam menimbulkan keprihatinan.

Kanak-kanak bawah 12 tahun dan individu belum divaksin yang sudah pulih dari COVID-19 juga dibenar masuk. Individu belum divaksin yang mempunyai hasil ujian negatif pra acara boleh memasuki premis bagi tempoh aktiviti atau khidmat yang mereka jalani.

PEMERIKSAAN SEMASA TEMPOH KELONGGARAN

MTI dan ESG mengumumkan tempoh kelonggaran selama seminggu dari 13 Oktober hingga 19 Oktober bagi pelaksanaan bertahap-tahap langkah pengurusan selamat mengikut status vaksinasi di premis.

Pemeriksaan akan dilakukan semasa tempoh tersebut, namun individu belum divaksin masih boleh memasuki premis dengan diberi peringatan.

Tempoh kelonggaran itu bagi membiasakan pengendali pusat beli-belah dan kedai serta orang ramai kepada langkah-langkah pengurusan selamat yang berbeza berdasarkan status vaksinasi, katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan